seks
KES seks dalam kalangan kanak-kanak tidak harus dipandang ringan. - Gambar hiasan

WALAUPUN diamanahkan untuk menjaga anak-anak yatim, tetapi lelaki yang didakwa mempunyai tabiat seks kurang normal ini memilih untuk menyalahgunakan kedudukannya.

Mungkin juga boleh dianggap gila seks apabila seorang kakitangan pusat jagaan anak yatim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini, atas 100 pertuduhan membabitkan 34 kes amang seksual.

Di samping itu dia juga menghadapi tuduhan menunjukkan kemaluan kepada dua kanak-kanak lelaki sejak November hingga April lalu.

Tertuduh berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Pada prosiding hari ini, semua pihak terbabit mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) berikutan lelaki itu yang disahkan positif Covid-19 baru selesai menjalani tempoh kuarantin pada hujung Mei lalu.

BERITA BERKAITAN Siasat segera! Gangguan seksual anggota polis tidak boleh dipandang enteng – Rina

Bernama.com melaporkan mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas 98 pertuduhan melakukan amang seksual dan dua lagi pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada dua adik-beradik lelaki berusia 10 dan 13 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi antaranya pangsapuri di Cameron Highlands, Pahang dan pusat jagaan berkenaan di Ipoh antara 1 November 2020 hingga 9 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(a) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail tidak menawarkan jaminan, mengambil kira jumlah pertuduhan yang menunjukkan kesalahan berulang bagi kes sama serta menggambarkan tertuduh mempunyai minat cenderung kepada kanak-kanak atau pedofilia.

Mohd Waffy turut memohon kepada mahkamah supaya satu tarikh sebutan semula ditetapkan dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan tertuduh bebas daripada Covid-19.

Bagaimanapun, peguam Robert S Gnananarajan yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dibenarkan kepada anak guamnya kerana kes itu bukan kes yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula kes itu.

Media yang ditempatkan di kamar mahkamah berasingan membuat liputan kes itu menerusi rakaman prosiding yang disuap secara langsung dan kerja-kerja sanitasi dilakukan di sekitar mahkamah selepas proses pendakwaan berakhir.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram