AYOB Khan Mydin Pitchay ketika melawat pasukan polis mengadakan sekatan jalan raya di Johor Bahru, baru-baru ini. - Gambar FB Polis Johor

POLIS Johor menerima sebanyak 3,384 permohonan rentas daerah/negeri dalam tempoh dua hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh atau ‘total lockdown’ dan daripada jumlah itu sebanyak 3,296 permohonan telah diluluskan dan 88 lagi ditolak.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan dalam tempoh itu juga, sebanyak 235 kenderaan telah diarah berpatah balik bagi SJR PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

“Bagi PKP lock down, sebanyak 69 SJR didirikan di seluruh Johor merangkumi 43 lokasi susur keluar dan masuk lebuh raya, sempadan negeri dan sempadan daerah.

“Tiga 3 SJR PKPD didirikan di daerah Kluang dan Segamat, lapan SJR untuk tugas Op Benteng dan 15 SJR secara mobile (bergerak) dilaksanakan di daerah Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kulai,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Ayob Khan berkata, seramai 1,046 petugas ditempatkan di SJR-SJR terebut dengan kolaborasi kekuatan melibatkan pegawai/anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA.

Mengenai kompaun, beliau berkata, jumlah kompaun dalam tempoh dua hari adalah sebanyak 82 kompaun yang bernilai RM210,500, manakala kompaun keseluruhan bermula dari 12 Januari hingga 2 Jun tahun ini adalah sebanyak 4,423 kompaun.

Daerah Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Segamat merupakan antara daerah tertinggi pengeluaran kompaun sepanjang tempoh ini, kata kenyataan itu.

Antara kesalahan-kesalahan lazim dilakukan adalah gagal memakai pelitup muka, gagal mengimbas aplikasi My Sejahtera, gagal menjaga penjarakan fizikal, penumpang berlebihan dalam kenderaan dan tidak mengimbas suhu badan ketika masuk premis

Ayob Khan berkata, sepanjang lockdown, sebanyak 470 pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditubuhkan dan diaturgerak secara aktif dengan kekuasan seramai 1,598 orang pegawai dan anggota.

“Bagi tempoh dua hari ini, sejumlah 17,512 premis telah diperiksa di seluruh negeri bagi memastikan tahap kepatuhan SOP mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Premis in meliputi pasar raya, restoran, pusat komersial, pusat perindustrian, rumah ibadah, pusat sukan dan rekreasi, terminal pengangkutan, pusat pendidikan, premis penjaja dan lain-lain.

Peratus pematuhan PKP total lockdown di Johor dalam tempoh dua hari adalah sebanyak 97 peratus.