KISAH ini bermula sekitar tahun 1940-an. Tinggal sebuah keluarga berketurunan Jerman di pinggir bandar Maryland, Amerika Syarikat.

Keluarga itu mempunyai seorang anak lelaki yang dikenali sebagai Roland Doe, berusia 14 tahun. Mungkin kerana tidak mempunyai adik-beradik lain, Roland amat rapat dengan ibu saudaranya bernama Harriet. 

Harriet merupakan seorang pengamal spiritual dan sering mengajar perkara berkaitan roh pada Roland. Ini termasuk cara menggunakan papan Ouija untuk memanggil roh orang yang sudah mati.

Papan Ouija.

Keanehan bermula tidak lama selepas Harriet meninggal dunia. Roland yang bersedih dan rasa kehilangan cuba menghubungi roh ibu saudaranya melalui papan Ouija.

Bermula Januari 1949, perkara-perkara ganjil mula berlaku di rumah mereka. Bunyi dinding dicakar, titisan air, bahkan barang-barang dalam rumah mula beralih sendiri.

Roland dibawa ibu bapanya mendapatkan rawatan dengan doktor dan pakar psikologi. Namun mereka gagal mengesan penyakit Roland lalu mencadangkan agar budak lelaki ini  dibawa berjumpa paderi.

Sementara itu, perkara aneh terus berlaku. Perabot rumah mula diterbalikkan, gambar pada dinding bergoyang hingga jatuh. Bahkan, ada yang mengatakan kejadian aneh turut berlaku apabila Roland berada di sekolah. Mejanya bergerak sendiri, disaksikan rakan-rakan sekelasnya.

E.Albert Hughes, paderi pertama yang menjalankan proses penghikmatan atau ‘exorcism’ (ritual mengusir roh jahat atau syaitan) terhadap Roland pada hujung Februari 1949.

Namun, ritual itu dihentikan apabila Ronald bertindak ganas sehingga mengoyakkan tilam, mencabut gegelung besi dan menyerang Albert, sehingga tangan paderi itu cedera.

Ritual exorcism yang dijlakukan paderi Albert dihentikan apabila Roland bertindak ganas. – Gambar Hiasan.

Beberapa hari kemudian, muncul kesan merah seperti bekas cakaran pada tubuh Roland. Salah satunya tertulis perkataan ‘LOUIS’. Beranggapan ia satu petanda, ibu bapanya membawa Roland berpindah ke St.Louis di daerah Missouri.

Setelah berpindah, Roland dirujuk kepada paderi di St.Louis. Setelah mendapat kebenaran gereja, paderi William S.Bowdern dibantu oleh beberapa paderi lain menjalankan sesi penghikmatan terhadap budak lelaki itu bermula pada Mac 1949.

Rumah yang pernah didiami keluarga Roland di St.Louis. Rumah ini sering menjadi perhatian pengunjung yang terdiri daripada pengkaji paranormal. Di rumah inilah beberapa paderi melakukan ritual exorcism terhadap Roland dan menyaksikan pelbagai keanehan.

Dalam proses tersebut, paderi menyaksikan pelbagai peristiwa ganjil. Antaranya, katil Roland bergoyang sendiri. Barang-barang terpelanting dan bergerak sendiri. Malah, suara Roland juga akan bertukar, menjadi garau serta menunjukkan ketakutan terhadap objek-objek suci seperti salib.

Dalam beberapa siri ritual yang dilakukan, muncul kesan-kesan luka pada tubuh Roland yang membentuk beberapa perkataan, termasuk gambaran wajah syaitan. Malah, ada paderi yang cedera hingga patah batang hidung setelah diserang Roland yang bertindak ganas.

Bukan itu saja, Roland akan bertukar watak dan mampu bertutur bahasa Latin, sedangkan dia tidak pernah mempelajari bahasa tersebut. Sesi ritual ini dilakukan hampir setiap malam disaksikan hampir 50 orang. Lebih kurang sembilan orang paderi terlibat. Mereka turut menyaksikan pelbagai keanehan tersebut.

Pernah muncul kesan cakaran berbentuk ‘X’ pada dada Roland yang dipercayai paderi, ia merujuk kepada nombor 10. Para paderi percaya tubuh Roland dikuasai oleh 10 roh jahat.

Dari kiri, paderi William Bowdern, paderi Edward Hughes dan paderi Walter Halloran yang pernah melakukan ritual exorcism pada Roland dan menyaksikan pelbagai keganjilan sewaktu ritual itu berjalan.

Penghujung bulan Mac, keadaan Roland kian teruk apabila dia mula kencing di atas katil dan menjerit-jerit memaki hamun para paderi yang menjalankan ritual terhadapnya.

Disebabkan itu, ibu bapanya membawa Roland ke hospital. Dia ditahan dalam sebuah bilik dan para paderi masih melakukan ritual exorcism untuk merawatnya. Pernah Roland yang kerasukan menjerit pada paderi mengatakan iblis akan selalu berada bersamanya. Paderi merenjis air suci, salib, perak dan segala alatan perubatan untuk mengusir roh jahat itu.

Dikatakan Roland berjaya mengharungi sesi ritual penghikmatan itu dan akhirnya sembuh. Kisah Roland ini telah dirahsiakan. Tidak banyak yang diketahui tentang hidupnya selepas itu. Cuma diceritakan Roland hidup normal seperti orang lain, bekerja dan berkahwin, juga mempunyai anak.

Dikatakan inilah wajah Roland sewaktu muda, selepas dia sembuh dari penyakit misterinya.

Novel Yang Membongkar Kisah Roland

KISAH Roland Doe terbenam dan tiada siapa lagi mengingatinya sehinggalah pada tahun 1971, seorang penulis bernama William Peter Blatty menulis novel berjudul ‘The Exorcist’ yang menjadi novel terlaris ketika itu.

Dari situ kisah Roland Doe diperkatakan semula, lebih kurang 20 tahun setelah kejadian tersebut. Ini kerana William menulis novel itu berdasarkan diari yang disimpan oleh Halloran dan Bowdern, dua paderi yang penah terlibat dalam siri rawatan exorcism terhadap Roland.

Novel William yang ditulis berdasarkan diari paderi yang pernah merawat kes Roland.

Sejak novel itu terbit, ramai yang cuba mengkaji kes tersebut. Ramai juga yang tidak percaya dan mengatakan kes Roland hanya satu penipuan.

Sesetengah pengkaji berpendapat, apa yang dialami oleh Roland hanyalah masalah mental dan tekanan jiwa semata-mata.

Tetapi ramai juga menyangkal dan mempersoalkan, jika Roland hanya mengalami masalah mental, bagaimana pula dengan perabot yang bergerak sendiri, kesan cakaran misteri dan bermacam-macam keanehan yang berlaku di sekeliling Roland.

Tambahan pula ketika itu, ada ramai saksi yang melihat sendiri perkara-perkara aneh tersebut. Malah, kisah paderi yang merawat kes Roland juga pernah dilaporkan dalam sebuah akhbar pada tahun 1949.

Keratan akhbar tahun 1949 yang pernah menyiarkan kisah Roland yang dirawat paderi.

Ada pengkaji yang pernah menemu bual salah seorang paderi yang terlibat dalam siri ritual untuk merawat Roland. Paderi itu yang sudah uzur ketika itu masih mampu menceritakan semula bagaimana dia dan orang lain yang berada di situ menyaksikan tubuh Roland terapung-apung dari katil, termasuk keganjilan lain yang tidak dapat dicerna dengan logik akal.

Disebabkan pengaruh hebat buku tulisan William itu, sebuah filem diterbitkan pada tahun 1973 dengan judul sama, The Exorcist.

Filem pertama berkaitan exorcism yang diinspirasikan dari kisah Roland dan kemudian disusuli filem-filem lain dengan genre yang sama.

Filem ini hit dalam pasaran. Bezanya, watak utama dalam filem ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan.

Kebanyakan babak dalam filem ini adalah berdasarkan kisah benar daripada kes Roland. Hanya babak di mana kepala kanak-kanak itu berputar 360 darjah dan muntah hijau sengaja ditambah.

Sebenarnya, kisah Roland inilah yang menjadi pencetus kepada filem-filem exorcist. Kejayaan filem ini menarik pembikin filem untuk terus menghasilkan filem-filem bercorak serupa, dan ada di antaranya juga berdasarkan kisah benar seperti filem The Exorcism of Emily Rose.

Wad di mana Roland pernah ditahan dan menjalani ritual pengusiran roh di Hospital Alexian Brothers telah ditutup tidak lama selepas Roland sembuh. Dikatakan wad yang menempatkan Roland itu ditutup kerana banyak berlaku gangguan misteri di situ. Pada tahun 1978, hospital itu ditutup keseluruhan operasinya. 

Hospital Alexian Brothers di mana Roland pernah ditahan dalam sebuah bilik dan menjalani ritual exorcism.

Rumah asal keluarga Roland di Maryland ditinggalkan sejak tahun 1960-an dan menjadi kawasan terbiar. Sebuah lagi rumah di St. Louis yang diduduki keluarga Roland semasa ritual penghikmatannya pula telah dijual kepada pemilik baru. Tidak pasti apakah pemilik tersebut mengalami gangguan ataupun tidak di rumah tersebut yang dikatakan pernah dihuni oleh roh-roh jahat yang merasuk Roland.

Lagi satu, nama Roland Doe bukanlah nama sebenar. Tiada siapa tahu identitinya, walaupun ada yang mendakwa nama sebenarnya ialah Ronald Edwind Hunkeler.

Identiti Roland dari awal dilindungi untuk menjaga privasinya. Jika Roland masih hidup hari ini, dia sudah berusia hampir 90 tahun.

Antara babak dalam filem The Exorcist.

______________

Baca juga kisah exorcist Emily Rose di sini : Nyawa Anneliese berakhir selepas 67 ritual ‘exorcism’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.