bola

PERLAWANAN Malaysia menentang Emeriah Arab Bersatu (UAE) tengah malam ini semenangnya perlawanan yang sangat dinantikan oleh para peminat bola sepak negara kerana sebelum ini pasukan negara pernah diaibkan dengan kekalahan 10-0 oleh pasukan yang sama pada 2015.

Bagaimanapun, pertemuan pasukan Harimau Malaya dalam aksi pertama Kumpulan G Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kali ini sudah tentu agak berbeza kerana selain daripada tidak dibarisi pemain yang ama, Malaysia juga  kini mempunyai ramai pemain ‘import’ yang berwibawa.

Malaysia kali ini dibarisi oleh tiga pemain naturalisasi – Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula, di samping mendapat ‘senjata’ baharu dengan terbaharu disertai pemain pertahanan berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools.

Cools, 24, merupakan pemain yang beraksi bersama pasukan gergasi Denmark, FC Midtylland dan mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi Eropah, Liga Juara-juara UEFA.

Bagi pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, beliau optimis pasukan bimbingannya bersedia menghadapi segala cabaran berdepan UAE walaupun pasukan itu pernah tewas dengan jumlah jaringan yang besar sebelum ini.

BERITA BERKAITAN Safawi, Sumareh ‘bertumbuk’ di dewan makan menjelang kelayakan Piala Dunia

“Itu adalah salah satu sejarah yang telah berlalu, sudah tentu kali ini dengan pemain dan situasi berbeza, saya rasa kita mampu menyekat serangan mereka (UAE), dan pada sama yang penting kita kena turun beraksi dengan keyakinan dan beri fokus setiap saat,” katanya.

Mohd. Hariri Mohamad Daud

Bagaimanapun, bagi pengacara Forum Perdana, Mohd. Hariri Mohamad Daud, pasukan Malaysia boleh menang dalam perlawanan kali ini ini tetapi harus menganggap perlawanan bola sepak sebagai satu ‘perang’.

Beliau yang dikenali sebagai ‘Ustaz Hariri’ berkata, bagi menghadapi pasukan yang sangat kuar seperti UAE, Cheng Hoe boleh mengambil formula atau strategi taktikal yang pernah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mengetuai perang-perang di zaman pemerintahan Baginda.

“Selepas saya membuka kitab Sirah, saya mendapati ada tiga taktikal yang digunakan oleh Nabi Muhammad ketika menghadapi perang Uhud dan Badar,” kata pendakwah itu ketika ditemubual dalam sesi Sembang Santai Nindia Bola Live di IG hafizalhamad.

“Strategi pertama adalah kita kena ‘bunuh’ panglima-panglima perang musuh. Ini bermakna, dalam perlawanan bola sepak nanti kita (Malaysia) kena ‘marking’ (kawal) ketat pemain-pemain yang kuat dalam UAE. 

“Kalau saya tengok, pemain-pemain kuat UAE ialah Ali Mabkhout dan Khalil Ibrahim yang beraksi cemerlang dalam perlawanan menentang Jordan dan India baru-baru ini,” katanya.

Yang kedua, Ustaz Hariri berkata, taktikal Nabi ialah memerintahkan pasukannya kekal di posisi masing-masing seperti dalam Perang Uhud. 

“Walaupun nampak peluang terbuka dan rasa nak pergi, Nabi melarang mereka dan kena duduk (jaga posisi),” katanya.

Di dalam Perang Uhud, tentera Islam tewas apabila pasukan pemanah tentera Islam meninggalkan posisi mereka di Bukit Uhud yang membolehkan tentera kafir membuat serangan kali kedua yang tidak disangka-sangka

Beliau berkata, strategi itu sangat penting untuk dilaksanakan untuk posisi pertahanan dan ia perlu diperkukuhkan serta arahan pemain langsung tidak dibenarkan meninggalkan posisi mereka.

Taktikal ketiga pula katanya, ialah Nabi dalam Perang Badar menguasai kawasan tengah, iaitu tentera Islam menguasai kawasan yang mempunyai air dan berjaya mencapai kemenangan.

“Jadi untuk menang dengan UAE, kita kena kuasai bahagian tengah. Antara tiga pemain tengah Aziam Azih, Syamer Kutty atau Liridon. Mereka perlu menguasai kawasan itu dengan baik,” tambahnya.

Selepas pertemuan dengan UAE pada 12.45 tengah malam ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini bakal bertemu Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram