POLIS mengesahkan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Seksyen 7 Shah Alam dengan maklumat mengenai kejadian itu tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, laporan kehilangan Nur Elida Mohd Rushdan dibuat oleh bapanya, Mohd Rushdan Mohamad Yusof, sehari selepas kejadian itu berlaku, Isnin lalu.

Beliau berkata, Nur Elida telah keluar rumah pada 31 Mei 2021 tetapi tidak pulang ke rumah hingga tarikh laporan polis dibuat (1 Jun).

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut laman Instagram sk8msia yang tular dan menamakan adik Nur Elida sebagai sumber, remaja itu didakwa bermain papan selaju di kawasan taman rekreasi berhampiran rumahnya sebelum disedari hilang.

Adik Nur Elida yang mencarinya di lokasi berkenaan kira-kira 10 malam bagaimanapun hanya menemukan sarung tangan dan topi keledar dipercayai milik remaja itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Nur Elida diminta menghubungi Mohd Rushdan di talian 012-5064514.