Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK 23 lagi kluster COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 12 daripadanya kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masing-masing tiga kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Turut melaporkan kluster tempat kerja hari ini adalah di Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Pahang.

Selain kluster tempat kerja, Noor Hisham berkata, terdapat tujuh kluster komuniti dan masing-masing dua kluster keagaamaan serta pendidikan dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Negeri-negeri yang melaporkan kluster baharu ialah Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Kedah, Putrajaya, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang.

“Ketika ini terdapat 691 kluster aktif manakala 1,593 kluster telah tamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam sebanyak 24 kluster dilaporkan dengan 19 daripadanya kluster tempat kerja.

Baca artikel berkaitan: 24 kluster baharu dikesan, 19 libatkan tempat kerja

7,748 kes baharu, lebih separuh di Selangor, KL, N. Sembilan

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 19 kes Varian yang Membimbangkan (VOC) COVID-19 melibatkan empat kes varian Delta (B.1.617.2) dan 15 kes varian Beta (B.1.351), hasil survelan genomik secara berterusan sejak 24 Mei hingga hari ini (4 Jun).

Beliau berkata, empat kes baharu varian Delta, yang dahulu dikenali sebagai varian India adalah melibatkan tiga kes di Labuan dan satu kes di Kuala Lumpur.

“Kesemua tiga kes di Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes-kes dari kluster Layangan Labuan, manakala satu kes di Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.

“Bagi 15 kes baharu varian Beta pula (varian Afrika Selatan) sebanyak enam kes dilaporkan di Johor, lima kes di Kelantan serta masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu. Kesemua kes adalah merupakan jangkitan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham terus menyeru orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu.

Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

“Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram