dikecam suara kelaut
Lagu nyanyian Suekhaizar, Aku Budak Girl kini ditonton lebih dua juta kali.

LAIN padang lain belalang. Biarpun dikecam suara kelaut, pelantun suara Aku Budak Girl, Suekhaizar langsung tidak ambil pusing dengan komen yang diberikan, malah menganggapnya sebagai satu cabaran buat dirinya untuk berusaha lebih keras lagi.

Dengan 1.3 juga pengikut di TikTok, lagu dendangan Suekhaizar yang dimuat naik ke saluran YouTube telah ditonton lebih dua juta kali selepas enam hari.

Malah beliau sendiri ternyata terkejut dengan perkembangan itu dan langsung tidak menyangka lagu nyanyiannya mendapat perhatian ramai.

Gadis berusia 17 tahun ini berkata, walaupun dikecam teruk oleh netizen, beliau mengambilnya sebagai sesuatu yang positif buat dirinya.

“Apa yang penting mesej dalam lagu itu sampai ke para pendengar,” kata Sue kepada UtusanTV.

Beberapa portal sebelum ini melaporkan hairan, bagaimana bintang TikTok dengan suara kelaut boleh mendapat tontonan tinggi melebihi satu juta tontonan selepas empat hari lagu dimuat naik ke YouTube.

Malah ada yang menekankan, selera muzik zaman sekarang mungkin sudah berubah dengan mengatakan suara merdu atau tidak bukan lagi persoalan.

Hanya dengan mempunyai pengikut yang ramai, seseorang itu didakwa lebih mudah “menjual” populariti walaupun bukan berada pada tahap memuaskan.

Sebelum ini juga kecoh mengenai instafamous yang mula membanjiri slot-slot drama tempatan yang dikatakan agak “kayu” apabila diberi peluang bagi memegang teraju utama.

Pelbagai pihak tampil memberikan hujah masing-masing dan ada yang mempersoalkan kenapa perlu mengambil bakat instafamous untuk berlakon sedangkan ramai lagi pelakon berbakat dalam industri lakonan.

Baca artikel berkaitan: “Masih ramai lagi pelakon berbakat dalam industri…” – Jaja Ishak komen isu Instafamous jadi pilihan

Sue berkata walaupun geram tetapi hatinya tetap terbuka dan menerima sebaiknya setiap komen yang dilontarkan.

“Saya sangat gembira dan tidak sangka penerimaan lagu saya sehebat itu. Tapi dalam gembira-gembira ada juga geramnya,” katanya

Jelasnya, beliau kini mengambil kelas vokal dan sering melakukan latihan dan nyanyian bersama dengan komposernya sebagai inisiatif sendiri bagi memperbaiki nyanyian.

“Memang sekarang Sue ada latihan vokal dengan komposer. Walaupun sekarang kena duduk rumah je tapi Sue masih sentiasa buat latihan untuk memperbaiki vokal Sue,” ujarnya dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram