TEWAS dengan jaringan besar dalam arena bola sepak adalah sesuatu terlalu perit untuk ditelan, nak pula skuad kesebelasan utama yang diturunkan bukan calang-calang dan adalah yang terbaik selepas dicongak bagi membawa nama negara.

Harimau Malaya yang tersungkur 0-4 kepada skuad ‘The Whites’ (UAE) pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal pagi tadi mengundang pelbagai kritikan daripada peminat selepas gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.

Prestasi hambar yang ditampilkan oleh beberapa pemain naturalisasi menjadi isu utama di mana rata-rata peminat bola sepak tanah air tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Ketiga pemain naturalisasi ini gagal menampilkan kemampuan sebenar mereka seolah-olah setiap gerakan yang dilakukan terlalu tumpul dan terlalu banyak mensia-siakan peluang yang dimiliki.

Bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan, turut tidak terlepas memberi komen “pedas” terhadap prestasi pemain naturalisasi selepas tamat perlawanan semalam.

“Bila kita diberi peluang untuk menjadi pemain naturalisasi, kita kena usaha lebih keras daripada pemain lokal,” ujarnya dalam ulasan selepas perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.

Komen itu kemudian disambut dengan ciapan @nasspaceflight dengan berkata, pemain naturalisasi tiada hati untuk bermain demi negara.

“Player naturalisasi dont have the heart to play for malaysia,” katanya.

Seorang lagi peminat bola sepak turut mempersoalkan pemilihan barisan kesebelasan utama Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

“Memalukan peformance #HarimauMalaya today. Why we need player naturalisasi in our team?? Ramai lagi player local yang lagi layak main.
@FAM_Malaysia,” kata @junomycat.

Berbeza dengan aksi mereka di liga domestik, rata-rata peminat menaruh harapan yang tinggi terhadap pemain yang sememangnya mempunyai kelebihan fizikal untuk cipta kelainan kepada skuad kebangsaan.

Baca artikel berkaitan: Tewas 0-4, UAE terlalu kuat untuk skuad Harimau Malaya

Jika anda menonton perlawanan semalam, kebanyakan pergerakan dan peluang di hadapan pintu gol pihak lawing tidak dimanfaatkan sebetulnya, malah tandukan De Paula pada minit ke-42 langsung tidak menggoyangkan benteng pertahanan UAE.

Berbeza dengan pemain tempatan lain seperti Farizal Marlias, Corbin Ong, Dion Johan Cools dan Syafiq Ahmad yang nampak lebih bertenaga selain lebih mempunyai keinginan untuk meraih kemenangan bagi pasukan negara pada perlawanan semalam.

Mereka perlu bangkit semula dan persembahkan prestasi sebenar pada dua lagi perlawanan menentang Vietnam dan Thailand bagi membuktikan bahawa jersi yang disarung bersama skuad kebangsaan bukan sekadar sehelai baju.

Misi wajib menang untuk dua perlawanan terakhir itu sekiranya Malaysia mahu mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga sekali gus layak ke Piala Asia 2023.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram