Rezeki harimau.. Zoo Taiping terima daging rampasan MAQIS

0
8791
Zoo Taiping menerima sumbangan daging sejuk beku yang dilucuthak MAQIS Pulau Pinang kelmarin./ Gambar media sosial MAQIS

KEBELAKANGAN ini memang banyak daging sejuk beku yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di seluruh negara kerana dibawa masuk secara tidak sah.

Justeru, ramai juga tertanya apa jadi dengan daging-daging tersebut yang berkontena banyaknya.

Sebenarnya selepas selesai proses lucut hak menurut perundangan, MAQIS akan melupuskan hasil rampasan tersebut.

Antara caranya, menyumbangkan dagingp-daging rampasan itu kepada pihak zoo.

Misalnya kelmarin, Zoo Taiping menerima sumbangan bekalan makanan berbentuk produk daging kerbau sejuk beku berjumlah lebih RM52,000 daripada MAQIS Pulau Pinang.

Turut menerima sumbangan itu, Penjara Marang, Terengganu untuk tujuan makanan ikan keli yang diusahakan pihak penjara.

Penyerahan itu dilakukan oleh Pengarah MAQIS negeri, Noriah Dahlan di Zoo Taiping smanakala Penjara Marang pula menerima sumbangan itu semalam.

MAQIS dalam kenyataannya memaklumkan, sumbangan berkenaan bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan haiwan di zoo serta sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program pemulihan banduan di Penjara Marang.

Baca artikel berkaitan: Lagi daging import dirampas MAQIS tak ikut syarat

Bukan selori, tapi tiga kontena daging seludup diragui halal dirampas MAQIS

Dalam pada itu, ia diharap dapat membantu Zoo Taiping dan Penjara Marang dari segi bekalan makanan haiwan dan ternakan ikan keli supaya dapat menampung bekalan makanan sedia ada.

“Keseluruhannya, MAQIS negeri menyumbangkan 414 karton seberat 6,620 kilogram (kg) produk daging kerbau sejuk beku yang tidak mematuhi prosedur pengimportan dari negara India bernilai RM52,676.20,” kata kenyataan itu.

Sumbangan keluaran pertanian itu adalah antara cara pelupusan selepas disita dan dilucuthakkan mengikut tatacara perundangan oleh Maqis di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Sebelum ini, pihak pengurusan zoo di negara ini berdepan masalah kekeringan kantung berikutan kutipan tiket yang rendah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Zoo Negara yang turut melancarkan kempen sumbangan bagi menampung perbelanjaan operasi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram