PENGUSAHA perniagaan kecil terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP - GAMBAR: Abd Razak Aid

ISU yang mana harus dipilih kerajaan – menyelamatkan nyawa manusia atau menyelamatkan periuk nasi golongan peniaga dan pekerja adalah suatu isu yang sentiasa menjadi perbahasan.

Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘ lockdown’ tidak dilaksanakan, kes jangkitan baharu COVID-19 semakin meningkat tetapi jika dilaksankan sepenuhnya perintah tersebut, ada pula yang ‘dapur tidak berasap.’

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal menghadapi risiko penutupan perniagaan sekiranya PKP dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata justeru, kementerian itu akan meneruskan pelaksanaan langkah intervensi di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi, bantuan pembiayaan dan moratorium bersasar bagi membantu usahawan menangani impak PKP.

Bernama.com melaporkan, Wan Junaidi juga mendedahkan bahawa hasil dapatan daripada dua kaji selidik secara dalam talian semasa tempoh PKP pada Mac 2021 amat membimbangkan.

BERITA BERKAITAN PKP3.0: SOP sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi

“Sebanyak 54 peratus daripada 3,855 responden, terutama perusahaan mikro mengatakan mereka hanya mampu bertahan bagi tempoh tiga hingga enam bulan sahaja.

“Manakala 72 peratus usahawan menjangkakan perniagaan akan terus mengalami kerugian,” katanya pada sidang media secara dalam talian mengenai Laporan Kaji Selidik Impak Pelaksanaan PKP Terhadap Usahawan di Malaysia hari ini.

Wan Junaidi berkata keadaan itu dikhuatiri mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi lebih tiga juta rakyat Malaysia.

“Perusahaan mikro dan informal yang paling teruk terjejas kerana produk dan perkhidmatan mereka adalah dalam sektor bukan penting dan mereka juga tidak mempunyai simpanan dan aliran tunai yang kukuh.

“Penting untuk memastikan jenis bantuan bersesuaian yang dapat diberikan bagi membantu usahawan mikro serta informal, dan inisiatif PEMERKASA Tambahan dijangka mampu menyokong daya tahan golongan ini sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kaji selidik yang dijalankan pihaknya ke atas pengguna yang melibatkan 2,888 responden pula mendapati penguatkuasaan PKP turut memberi kesan negatif ke atas kehidupan rakyat, berbeza mengikut kumpulan pendapatan.

“Golongan B40 lebih terkesan dengan isu kewangan, manakala golongan M40 dan T20 terkesan dengan isu sosial,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kajian tersebut turut mendapati pekerja yang bekerja di sektor swasta merupakan mereka yang paling berisiko tinggi untuk diberhentikan kerja.

“Lebih 50 peratus daripada kumpulan B40 dan hampir 50 peratus daripada kumpulan M40 telah mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10 hingga 30 peratus ekoran PKP.

“Manakala 30 peratus daripada kumpulan T20 telah mengalami pengurangan pendapatan lebih 50 peratus,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram