Gambar FB KKM

VAKSIN COVID-19 keluaran AstraZeneca dari kilang Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand kini diluluskan pihak berkuasa untuk kegunaan di Malaysia.

Ini setelah Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-358 hari ini memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin keluaran kilang tersebut menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya pada 2 Mac lepas, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Belanda yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah.

“Sebagai makluman, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX yang mula diterima pada April.

“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima dari pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, vaksin AstraZeneca yang diluluskan adalah kilang dari Belanda yang diperoleh menerusi COVAX. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: KJ tinjau PPV cacat penglihatan di Brickfields, 200 disuntik setiap hari

24 kluster baharu dikesan, 19 libatkan tempat kerja

Menurut Noor Hisham, kelulusan pendaftaran secara bersyarat memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin dari semasa ke semasa.

Katanya ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini serta perbandingan manfaat-risiko vaksin kekal positif.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram