AS jual apartmen mewah Riza Aziz di New York AS$16.8 juta

0
7222

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menjual sebuah apartmen milik anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz pada nilai AS$16.8 juta (RM69.35 juta).

Pangsapuri mewah milik penerbit filem ‘The Wolf of Wall Street’ di 15 West 63rd Street ibu kota New York itu adalah sebagai pertukaran untuk mengugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap dirinya.

New York Times (NYT) melaporkan penjualan berkenaan disenaraikan antara bangunan kediaman paling mahal pernah direkodkan di New York.

Pada masa sama, penjualan semula apartmen tersebut dipercayai menjadi jualan balik paling menguntungkan di dunia.

Menurut laporan itu, NYT turut menyenaraikan beberapa unit kediaman termasuk sebuah pangsapuri mewah tiga bilik di 220 South Central Park iaitu bangunan kediaman paling mahal di New York telah dijual semula pada harga AS$33 juta (RM136.22 juta), Mei lalu.

Kediaman tiga bilik tidur yang merangkumi separuh tingkat 55 bangunan tersebut dijual pada harga 23 peratus lebih tinggi daripada hampir AS$26.8 juta (RM110.63 juta) yang dibayar pada tahun 2019.

Baca artikel berkaitan: 1MDB, SRC International fail 22 tuntutan bernilai RM96.6 bilion

Wall Street Journal (WSJ) pula melaporkan bahawa perjanjian itu dapat berfungsi untuk menentukan sama ada harga pangsapuri lain di kompleks kondominium sekitarnya akan meningkat.

Pada tahun 2012, Riza, 44, dilaporkan membayar harga AS$33.5 juta (RM138.29 juta) untuk pembelian hartanah itu, dipercayai menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

14 Mei tahun lalu, Riza dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.02 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Pada 5 Julai tahun 2019, Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures mengakui tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram