Pukul 5 petang, seorang gadis berusia 25 tahun sedang mengelamun di meja kerjanya. Emosinya pada hari itu tidak baik. Jiwanya bercelaru. Fikirannya amat terganggu dengan apa yang berlaku pada diri dan juga keluarganya. Airmatanya tidak henti-henti mengalir.

Dek terlalu tertekan, dengan tidak semena-mena nafas anak gadis itu turun naik dengan cepat. Dia mencapai pisau kecil di meja lalu mencederakan lengannya. Darah membasahi tangan dan pakaiannya, serta lantai pejabat.

Tetapi mencederakan diri dirasakan masih tidak cukup, lalu dikeluarkan beberapa papan panadol dari begnya. Dia memakan semua panadol itu dan…

MEMULAKAN TUGAS

PUKUL 9 PAGI, Amyza memulakan tugasnya dengan penuh bersemangat setelah pulang dari percutian di Australia selama seminggu. Sesekali sambil menaip di komputer, Amyza tersenyum memandang gambar-gambar yang digantung di kubikalnya.

Dia berasa bangga dengan pencapaiannya sebagai salah seorang pegawai kanan di tempat kerjanya sekarang, iaitu sebuah syarikat kejuruteraan di Paya Lebar, Singapura.

Sungguh, Amyza tidak menyangka dia dinaikkan pangkat dengan begitu cepat. Cumanya, apabila dinaikkan pangkat, bermakna tugas dan beban kerja bertambah. Tekanan mental turut meningkat.

“Tak apalah, asalkan gaji naik,” Amyza berkata di dalam hati dan tersenyum lagi.

Sedang asyik menaip, Amyza tersentak apabila terdengar namanya dipanggil oleh suatu suara yang amat dikenalinya. Segera dia menoleh ke arah suara itu. Ah, Shaista rupanya. Amyza mengeluh melihat pekerja bawahannya itu berada di kubikalnya.

“Shaista, apa yang adik buat kat sini? Kita baru nak mula kerja, adik dah merayau ke tempat akak. Dah berapa kali akak pesan… jangan datang sini. Akak sibuk, banyak kerja! Adik buatlah kerja adik tu!

“Kat sini kan pengurus dan bos besar pun ada. Kalau pengurus kita, Encik Hadi nampak adik kat sini, macam mana? Kan susah nanti,” leter Amyza sambil menahan amarahnya.

Shaista hanya memandang Amyza dengan pandangan kosong. Sepatah pun tidak dijawab leteran Amyza tadi. Wajah gadis kacukan Serani dan Cina itu juga kelihatan pucat. Seperti tiada darah di mukanya.

“Shaista balik ke tempat Shaista, ya… jangan cari masalah. Nanti Encik Hadi nampak, susah Shaista…” sambung Amyza dan terus mengalihkan pandangannya ke komputer.

Dia sengaja tidak mahu memandang Shaista dengan harapan gadis itu akan beredar sendiri apabila menyedari kehadirannya tidak disenangi. Seperti tadi, Shaista tidak menjawab. Berganjak pun tidak. Wajahnya kosong.

Amyza tidak mengendahkan Shaishta dan berpura-pura sibuk dengan mencari barang di dalam laci. Waktu itulah dia terdengar namanya dipanggil oleh Encik Hadi.

“Amyza… mari ikut saya sekejap. Ada sesuatu saya nak beritahu awak,” perintah Encik Hadi.

Amyza mengangkat kepala. Encik Hadi dilihat sedang berdiri di tepi kubikalnya manakala Shaista sudah tiada. Barangkali sudah kembali ke mejanya.

“Baik Encik Hadi…” balas Amyza dan berjalan mengekori pengurusnya itu.

BERITA MENGEJUTKAN

DI BILIKNYA, Encik Hadi menerangkan tentang tugas-tugas yang Amyza perlu lunaskan segera. Selesai berikan penjelasan, Encik Hadi berdiam diri sebentar.

“Amyza, saya harap awak bersabar dengan apa yang saya hendak saya sampaikan sebentar lagi,” dia memulakan bicara.

“Apa dia, Encik Hadi?” Amyza menanti berita yang ingin disampaikan oleh pengurusnya dengan tanda tanya dan debaran di hati.

“Awak tau tak apa yang berlaku masa awak bercuti seminggu lalu?”

“Tak, Encik Hadi. Kenapa?”

“Untuk pengetahuan awak, tiga hari lepas Shaista ditemui mati di kubikalnya, dipercayai membunuh diri. Di pergelangan lengannya ada banyak luka. Dipercayai Shaista kelar sendiri sebelum memakan panadol secara berlebihan.”

Shaista mati? Amyza tersentak. Dia tergamam dan hilang kata-kata.

“Kami dengar Shaista alami depresi. Dia stres kerana ditinggalkan tunangnya dan masalah keluarga. Baru-baru ini juga Shaista kehilangan neneknya pula. Shaista lama tinggal dengan neneknya selepas ibu bapanya bercerai semasa dia masih kecil.

“Kawan-kawan memang tak sampaikan berita itu pada awak sebab tak mau ganggu mood awak yang tengah bercuti. Lagipun hubungan awak dengan Shaista sejak beberapa bulan lalu macam agak renggang, tak macam dulu- dulu,” kata Encik Hadi.

“Astaghfirullahal aziim…” hanya itu sahaja yang mampu Amyza ucapkan pada saat itu. Badannya menggeletar, air matanya bergenang. 

Amyza ingin menyatakan sesuatu, terutama sekali tentang `Shaista’ tetapi tidak dapat meluahkannya. Dia tidak dapat menyusun kata.

“Ini saya beri diari Shaista dan hadiah hari lahir yang Shaista tidak sempat beri pada awak sebelum dia bunuh diri. Kami jumpa barang-barang ni dalam lacinya. Shaista dah anggap awak seperti kakaknya sendiri.

“Saya tau yang Shaista perlukan awak dan dia juga rindu nak berkongsi masalahnya dengan awak seperti dulu tetapi lepas dinaikkan pangkat, awak sibuk dengan tugasan awak dan tidak lagi ambil berat tentang dia. Awak juga jauhkan diri dari Shaista menyebabkan dia kecil hati.

“Awak pun tau, Shaista anak tunggal. Apabila tidak ada tempat mengadu, dia ambil keputusan untuk simpan masalahnya seorang diri sehingga mengambil keputusan untuk membunuh diri,” sambung Encik Hadi lagi.

Air mata mengalir di pipi Amyza. Dia benar-benar kesal kerana sejak dinaikkan pangkat lebih setahun lalu, dia terlalu menumpukan perhatian kepada kerja dan menjarakkan hubungan dengan pekerja-pekerja bawahannya, termasuk Shaista. Sedangkan hubungan mereka sebelum itu amat rapat.

Amyza juga sering menolak ajakan Shaista untuk makan tengah hari bersama, seperti sebelum ini. Rupa-rupanya Shaista mempunyai masalah yang hendak dikongsi dengannya.

“Tapi tadi Shaista datang ke kubikal saya, Encik Hadi. Saya suruh dia pergi ke meja dia semula sebab tak mau diganggu atau kena marah dengan Encik Hadi,” Amyza cuba menjelaskan lebih lanjut tentang kedatangan `Shaista’, tapi Encik Hadi hanya tersenyum.

“Saya tak pelik. Bukan awak seorang saja yang dah kena. Ramai pekerja di sini nampak Shaista menjengah di kubikal, duduk di mejanya atau melintas di pantri, tandas dan lorong kecil ke pintu belakang. Biasanya awal pagi macam ni, lewat petang atau malam ketika pejabat lengang.

“Saya pun pernah nampak. Tapi ini kali pertama saya dengar Shaista berdiri lama di kubikal pekerja. Selalunya jengah saja dan terus hilang. Mungkin sebab dia sayangkan awak dan nak sampaikan sesuatu kepada awak.”

Esoknya Amyza mengambil cuti sakit, dia demam selama tiga hari. Selepas seminggu kematiannya, jelmaan Shaista tidak lagi muncul. (Anisah Abdullah, Bedok North Road, Singapura. Amyza adalah kenalan Anisah dan kejadian ini berlaku empat tahun lalu.)