DR NOOR HISHAM ABDULLLAH/ Gambar Fb Noor Hisham 1 Jun

SEBANYAK 30 kluster baharu COVID-19 dilaporkan pada hari ini dengan 18 daripadanya membabitkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 daripada 18 kluster tempat kerja pula melibatkan sektor perkilangan.

“KKM menasihatkan para majikan untuk sentiasa memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Ini supaya dapat mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan di samping membendung penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 6,241 kes baharu, terendah sejak lebih dua minggu lalu

17 lagi kluster COVID-19 tempat kerja dikesan hari ini

Menerusi kenyataan itu, beliau memaklumkan, 12 lagi kluster terdiri daripada komuniti (tujuh), pendidikan (dua) dan masing-masing satu kluster keagamaan, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Kata Noor Hisham, negeri-negeri yang melaporkan kluster baharu pula terdiri daripada Johor, Melaka, Sabah, Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Pahang dan Perak.

“Pertambahan kluster baharu hari ini menjadikan kluster aktif kini berjumlah 712.

“Sementara itu, 1,625 kluster telah tamat,” jelasnya.

Negeri yang paling banyak melaporkan kluster tempat kerja hari ini adalah Johor dengan tujuh, diikuti Sabah (tiga), Selangor (dua), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Putrajaya, Kelantan, Melaka dan Kedah.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai terus patuhi SOP sebagai normal baharu.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

“Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram