PENGGAL Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang sepatutnya tamat hari ini  dilanjutkan sehingga Ordinan Darurat terbabit tamat pada 1 Ogos depan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, DUN dan kesemua 82 ahlinya serta jemaah menteri negeri juga akan terus berfungsi dan menjalankan tugas di bawah Ordinan Darurat.


Menurutnya, notis lanjutan itu telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi e-mel hari ini.


Katanya, Pilihan Raya Negeri akan diadakan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sarawak.


“Bagaimanapun, disebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuat kuasa pada 11 Januari 2021 dan juga penggubalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.


“Peruntukan undang-undang di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak khususnya berkaitan dengan kuasa-kuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak serta mengadakan pilihan raya telah digantung dan tidak mempunyai kesan menerusi Seksyen 13 dan 15 Ordinan tersebut,” kata Asfia dalam satu kenyataan hari ini.


DUN Sarawak sepatutnya terbubar hari ini berdasarkan mesyuarat pertama pada 7 Jun 2016 yang diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11.


Awang Asfia memberitahu, penggantungan mengenai pembubaran dan pilihan raya negeri akan terus kekal selagi mana pengisytiharan darurat berkuat kuasa.


Namun katanya, kedua-dua itu juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat Baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat.


25 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati kerajaan Sarawak agar meneruskan fungsinya seperti biasa sekalipun penggal DUN tamat selepas 6 Jun.


Titah baginda kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk terus berfungsi semasa tempoh darurat seperti yang diperkenankan oleh Seri Paduka menerusi Pengisytiharan Darurat, berkuat kuasa sejak 11 Januari lepas hingga 1 Ogos ini.