MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung isu terbaru membabitkannya yang ditimbulkan di media sosial sejak semalam.
Ini berhubung dakwaan beliau dipercayai memandu uji kenderaan di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang, semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu ketika dihubungi BERNAMA.
“Tiada komen lanjut setakat ini, tunggu siasatan polis selesai,” katanya ringkas hari ini.
Baca artikel berkaitan: Polis siasat dakwaan libat MB Kedah, pegawai nafi ada pandu uji
Semalam, netizen kecoh susulan penularan beberapa gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kenderaan, sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh dan pusat jualan serta pameran kenderaan antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad sebelum ini berkata, polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan memanggil semua yang terlibat termasuk Muhammad Sanusi.
Katanya siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Setiausaha Politik Muhammad Sanusi pagi ini turut menfaikan dakwaan ditimbulkan di media sosial kerana tiada pandu uji berlaku seperti didakwa.
Afnan Hamimi Taib turut menjelaskan yang Muhammad Sanusi berada di Juru kerana singgah membeli makanan di sebuah restoran sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara untuk urusan penting yang dibenarkan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram