Muhammad Sanusi Md Nor/ Gambar FB MB Kedah

SEJAK semalam riuh di media sosial apabila seorang pengguna Facebook mendakwa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dipercayai berada di pusat pameran dan jualan di Autocity, Juru, untuk memandu uji kenderaan pacuan empat roda.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan berhubung beberapa gambar dan video tular yang didakwa Muhammad Sanusi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.

“Dalam hal ini, polis akan memanggil semua dipercayai terbabit dalam perkara itu termasuk penjual kereta, Menteri Besar Kedah dan mereka yang berada di sana untuk membantu siasatan,” katanya hari ini di Bukit Mertajam.

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan Muhammad Sanusi ke pusat pameran dan jualan kenderaan itu dipercayai untuk memandu uji sebuah pikap Ford Raptor di Auto City, Juru selepas dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook.

Kejadian didakwa berlaku pada 6.30 petang semalam.

Menurut dakwaan itu, Menteri Besar itu dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan kerajaan sejak 1 Jun lalu.

Baca artikel berkaitan: Isu air: Kedah akan terus tuntut, P. Pinang layak guna 5% sahaja – MB

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi, Afnan Hamimi Taib berkata, tiada sesi pandu uji seperti didakwa pengguna media sosial itu.

Naib Ketua Pemuda Pas itu berkata, dalam kejadian tersebut, Muhammad Sanusi dalam perjalanan ke ibu negara dan singgah di Juru untuk membeli makanan sebelum meneruskan perjalanan.

“Hanya kebetulan, restoran yang disinggah terletak dekat pusat pameran kereta yang dimaksudkan.

“Bersama Menteri Besar ialah pemandu dan anggota polis, ke ibu negara atas urusan penting yang dibenarkan untuk rentas negeri,” katanya menerusi Facebook beliau.

Menurutnya, ketika di restoran itu, kelihatan seorang jurujual tengah susun kereta Ford Ranger di luar pusat pameran.

“MB pi jengok kereta tu. Bukan pi nak beli. Saja nak pi tengok. Minat. Kalau pi hendap-hendap orang tengok pelik pulak.

“Walaupun show room tutup, salesman tu bersopan, layan orang yang mai sambil-sambil duk alih kereta-kereta tu.

“Dia tau waktu ni tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga, macam tu la. Lepas siap beli makanan, MB sambung perjalanan ke Kuala Lumpur. Ford Ranger tu duk ada kat Juru tu. Tak ikut pi sekali,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram