SEBANYAK 23 lagi kluster baharu COVID-19 dikesan hari ini dengan kira-kira 70 peratus melibatkan tempat kerja.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, 16 kluster tempat kerja telah dilaporkan hari ini.

Beliau berkata, kluster tempat kerja yang merekodkan jumlah tertinggi hari ini adalah kluster Dah Ria Jaya di Kuala Muda, Baling dan Sik, Kedah.

Katanya, ia melibatkan seramai 58 individu dikesan positif COVID-19 daripada 504 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr. Noor Hisham memaklumkan, Selangor mencatatkan kluster tempat kerja baharu tertinggi hari ini iaitu sebanyak empat kluster diikuti tiga kluster di Johor.

Katanya, sebanyak 383 kes positif COVID-19 telah dikenal pasti daripada keseluruhan 16 kluster tempat kerja yang dikesan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 902 terima rawatan ICU, 82 lagi kematian hari ini

“Selain kluster tempat kerja, sebanyak enam kluster baharu adalah melibatkan komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

“Jumlah keseluruhan kluster sejak wabak COVID-19 melanda adalah sebanyak 2,361 dengan 1,635 kluster telah tamat. Kluster masih aktif adalah sebanyak 726,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram