Muna al-Kurd dan abangnya, Mohammad al-Kurd dibebaskan polis pengganas Israel beberapa jam selepas mereka ditahan, semalam. Foto MEDIA SOSIAL


AKTIVIS yang juga pemimpin kempen #SaveSheikhJarrah, Muna al-Kurd dan abangnya, Mohammad al-Kurd dibebaskan polis pengganas Israel beberapa jam selepas mereka ditahan, semalam.

“Tidak kira apa jenis keganasan yang mereka buat untuk menakutkan kami dan berapa banyak kami akan ditahan, ia sama sekali tidak akan menakutkan kami.

“Kami akan kekal di rumah kami dan terus mempertahankan tempat kami dilaporkan dan dibenarkan,” katanya sejurus pembebasan mereka sebagaimana lapor Al Jazeera.

Muna dan Mohammad yang merupakan pasangan beradik kembar menggerakkan kempen #SaveSheikhJarrah yang menarik penyertaan penduduk tempatan dan masyarakat antarabangsa untuk membantah rancangan rejim Zionis memindahkan keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan perumahan Sheikh Jarrah yang dijajah Israel.


Dalam pada itu, Mohammad berkata:”Kami tidak takut, apatah lagi gentar dan akan terus bersuara terhadap ketidakadilan ini.

“Kami akan tetap melindungi rumah kami,” katanya.

Terdahulu, bapa kepada pasangan kembar berusia 23 tahun itu, Nabil al-Kurd berkata, Muna ditahan di rumah mereka semasa serbuan oleh polis manakala Mohammad hadir ke balai polis selepas menerima notis perintah hadir ke balai polis.
“Mereka mahu mengusir kami dari Baitulmuqaddis namun kami masih di sini.

“Senjata penduduk Palestin adalah kamera dan kata-kata manakala tentera pengganas Israel lengkap bersenjata,” kata Nabil.

Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, sebanyak 10 orang penduduk Palestin cedera terkena peluru getah dan bom tangan pegun semasa mengady tunjuk perasaan yang berhimpun di luar balai polis Israel bagi mendesak pembebasan kedua-dua aktivis itu.

Penahanan aktivis itu dibuat sehari selepas wartawan Al Jazeera, Givara Budeiri ditahan semasa membuat liputan demonstrasi di Sheikh Jarrah.

Budeiri bagaimanapun dibebaskan beberapa jam kemudian selepas penahanannya mengundang kecaman masyarakat antarabangsa.

Peguam, Naser Odeh berkata, kedua-dua beradik itu berdepan pertuduhan mengganggu keselamatan awam Dan mengambil bahagian dalam rusuhan.

“Sebab penahanan itu adalah kerana kami berkata bahawa kami tidak akan meninggalkan rumah kami dan mereka tidak mahu mana-mana bersuara, tiada seorang pun boleh beritahu kebenaran.

“Mereka mahu mendiamkan kami,” katanya.

Tiga bulan lalu, Muna melancarkan kempen dalam talian menggunakan tanda pagar #SaveSheikhJarrah bagi mengetengahkan isu penduduk Sheikh Jarrah yang diugut akan diusir.

Dalam temubual terbaharu, Muna menegaskan, “jika keluarganya diusir, baki penduduk Baitulmuqaddis akan diusir juga”.

Muna dan Mohammad memastikan penduduk dunia kekal mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan di Sheikh Jarrah.

Keluarga al-Kurd adalah satu daripada empat keluarga yang bakal diusir pada awal Mei. Sebahagian rumah mereka dirampas peneroka haram Yahudi pada 2009.

2 Mei lalu, mahkamah daerah Israel memutuskan empat keluarga Palestin perlu diusir atau mencapai penyelesaian dengan pertubuhan peneroka haram Yahudi dengan membayar sewa selain mengiktiraf mereka sebagai tuan tanah.

Kesemua keluarga itu kemudiannya enggan mematuhi perintah berkenaan sekali gus memperbaharui penentangan terhadap rejim Zionis.

Berikutan penjajahan Israel di Baitulmuqaddis Timur pada 1967, kumpulan peneroka haram Yahudi melancarkan tindakan undang-undang untuk merampas tanah itu dengan mendakwa Sheikh Jarrah adalah milik Yahudi sebelum perang 1948 di Palestin.

Namun hakikatnya, keluarga Palestin di kawasan perumahan itu telah menetap di kawasan itu sejak beberapa generasi.