Allahyarham Roseminah perkenal idea baru. Pengarang tegas, tapi penyayang

0
58

Allahyarham Roseminah Ahmad adalah Pengarang majalah Wanita yang banyak memperkenalkan ruangan-ruangan baru di majalah tersebut, ketika beliau mengendalikannya mulai Jun 1986 hingga Julai 1993.

Paling diingati adalah ruangan tokoh-tokoh baru wanita negara, yang menjadi sumber inspirasi kepada kaum hawa untuk terus berjaya dalam setiap lapangan yang mereka sertai.

Kedua, ruangan ketenteraan dan pertahanan negara.

Allahyarham adalah ketua yang tegas tetapi dalam masa sama bersikap penyayang, seperti seorang kakak kepada wartawan-wartawan di bawah seliaannya.

Sikap itulah yang membuatkan wartawan-wartawan sentiasa bermotivasi, berdisiplin dan gembira bekerja di bawah seliaan beliau. Secara tidak langsung, ia mendorong mereka untuk berusaha menjadi yang terbaik dan menghasilkan tulisan-tulisan yang berkualiti.

Bagi wartawan veteran Utusan, Normala Hamzah yang pernah berkhidmat selama dua tahun di bawah seliaan Roseminah, itulah keistimewaan Allahyarham yang sukar dicari ganti dan akan diingatinya sampai bila-bila.

Justeru, bagi Normala, pemergian Roseminah yang meninggal dunia dua hari lalu akibat Covid-19 adalah kehilangan seorang tokoh bagi majalah tersebut. Sekaligus, umpama kehilangan seorang `kakak’.

Artikel berkaitan : https://utusantv.com/2021/06/06/roseminah-ahmad-wartawan-wanita-hebat-pada-zamannya/

Allahyarham Roseminah Ahmad (duduk, kanan sekali) bersama mantan-mantan Pengendali dan Pengarang majalah Wanita : (Berdiri, dari kiri) Hazani Musa, Norasmah Zakaria, Wirda Adnan dan Norimy Aimi. (Duduk, dari kiri) Maimunah Yusof, Faridah Idris dan Nik Rahimah Hassan.

“Apabila dilantik, setiap pengendali majalah akan memperkenalkan idea serta ruangan-ruangan baru, dan bagi Allahyarham Kak Ros, semua orang akan ingat ruangan ketenteraan yang diperkenalkannya.

“Cerita mengenai bidang ketenteraan dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di setiap negeri amat diminati pembaca, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang tersebut. Seperti kita tahu, jumlah mereka cukup ramai dan terdapat di seluruh negara, ini merupakan idea content yang sangat membantu meningkatkan jualan majalah,” kata Normala.

Selain meneruskan ruangan temubual tokoh-tokoh wanita yang sudah terkenal, Roseminah mewujudkan pula ruangan untuk personaliti-personaliti yang baru mencipta nama. Antaranya ialah Azah Aziz (Allahyarham), isteri Profesor Diraja Ungku Aziz (Allahyarham), yang sedang mencipta nama dalam bidang seni dan budaya, khususnya busana Melayu.

Ruangan-ruangan baru ini berserta ruangan sedia ada seperti resepi, petua dan sebagainya membolehkan majalah Wanita mencatat jualan sekitar 50,000 hingga 70,000 naskhah sebulan.

“Walaupun waktu itu Wanita adalah satu-satunya majalah kewanitaan yang ada di negara kita, tetapi Kak Ros dan kami semua tidak pernah mengambil mudah. Semua wajib hasilkan yang terbaik bagi memenuhi harapan yang tinggi daripada pihak syarikat serta pembaca,” sambung Normala.

Mengenai karakter Roseminah sebagai ketua, Normala mengingati Allahyarham sebagai orang yang gemar memberi motivasi dan tunjuk ajar.

“Apabila kita berjaya hasilkan tulisan yang baik, beliau akan beri pujian. Ini menyebabkan kami berasa seronok dan sentiasa terdorong untuk menghasilkan lebih banyak lagi tulisan-tulisan yang baik.

Kulit hadapan sebahagian daripada majalah Wanita ketika dikendalikan oleh Allahyarham Roseminah Ahmad pada Jun 1986-Julai1993.

“Malah, sehingga sekarang saya masih ingat lagi pujian beliau yang pertama bila saya dapat hasilkan tulisan menepati apa yang beliau mahukan. Kak Ros puji saya, “Haaa… macam ni lah anak mami Penang”… padahal saya bukan pun anak mami. Saya asal Kedah, cuma pernah kerja dengan akhbar Bintang Timur di Pulau Pinang.

“Tapi begituah Kak Ros, beliau seorang yang baik, gemar memberi motivasi dan panduan untuk kita jadi wartawan yang baik.”

Namun dalam memuji, Allahyarham seorang yang tegas.

“Apabila sudah beri tugasan, Kak Ros akan pastikan kami tunaikannya. Jangan mudah-mudah beri alasan, memang tidak akan diterima.”

Paling beliau tegas ialah deadline (tarikh akhir). Jika sudah ditetapkan tarikh dan waktunya, patuhlah. Ini penting supaya majalah dapat menghasilkan artikel-artikel terbaik dan dapat dicetak serta diedarkan pada waktu yang telah dijadualkan.

“Satu lagi, saya kagum dengan dedikasi Kak Ros. Saya biasa tengok beliau masuk semula ke pejabat pada waktu malam untuk menyudahkan kerja-kerja yang banyak tertangguh kerana pelbagai tugas lain pada waktu siang.

“Dedikasi dan disiplin yang ditunjukkannya itu sedikit sebanyak menjadi panduan kepada saya apabila menjadi Pengarang Wanita pada 1999 dan 2009,” jelas Normala.

Seperkara lagi yang Normala kagum ialah walaupun sibuk dengan tugasan di pejabat, Allahyarham turut aktif dalam kerja-kerja kebajikan, antaranya melalui Badan Keluarga Utusan (BKUM).

“Apabila saya terlibat dengan BKUM, saya banyak berbincang dengan Allahyarham tentang aktiviti-aktiviti yang hendak dijalankan,” sambung Normala.

Lagi cover sebahagian daripada majalah Wanita ketika dikemudi oleh Allahyarham Roseminah.

Pandangan yang sama dikongsi oleh Wirda Adnan, mantan Pengarang Wanita (Ogos 1993-Ogos 1999), yang menggantikan tempat Allahyarham apabila beliau dinaikkan pangkat menjadi Penolong Ketua Bahagian Majalah.

Selain banyak memberikan dorongan dan idea untuk memajukan majalah, Wirda mengingati Roseminah sebagai seorang yang sangat mengikuti perkembangan dunia kewanitaan.

“Beliau sentiasa mengikuti perkembangan dunia fesyen. Sebab itu kita tengok Kak Ros sentiasa cantik dan fashionable. Ini menyebabkan saya berasa cukup selesa dan seronok setiap kali berbincang dengannya.”

Di samping itu, Wirda menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat berterus-terang. Beliau akan ceritakan apa yang sepatutnya, biarpun hal tersebut agak sensitif.

Allahyarham Roseminah mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kakitangan Bahagian Majalah, biarpun selepas beliau bersara daripada Utusan. Bekas wartawan majalah Wanita menganggap Allahyarham seperti `ibu.’

Mantan Pengarang majalah Saji, Tajaiyah Ihsan juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pendorong. Tajaiyah merupakan pengendali majalah Saji yang pertama, ketika itu Roseminah merupakan Penolong Ketua Bahagian Majalah.

“Sebagai produk baru, tentulah ada kekurangan di sana sini. Melihat situasi ini, Kak Ros selalu beri dorongan, idea dan maklumkan apa yang perlu saya buat. Jika saya ada masalah, beliau sering membantu dengan memaklumkan kepada pihak atasan.

“Kak Ros tidak hanya duduk di dalam bilik. Beliau selalu datang ke meja kami untuk berbual dan berbincang,” ujar Tajaiyah.

Bagi Tajaiyah juga, Roseminah seorang ketua yang penyayang. “Saya tidak pernah tengok Allahyarham marah atau meninggikan suara. Beliau menghormati dan menyayangi sahabat serta semua kakitangan lain. Itu yang menyebabkan hubungan kami menjadi rapat.”