
KHIDMAT anggota bomba digunakan bagi membawa turun jenazah wanita obesiti di rumahnya di Bandar Rinching, Semenyih hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dalam satu kenyataan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan untuk membantu membawa turun jenazah untuk diserahkan kepada polis kira-kira pukul 1.48 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota diketuai
PBK II Rozaidi Abdul Rahim kemudiannya bergegas ke lokasi.
“Komander operasi yang tiba kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati seorang jenazah wanita obesiti berusia 51 tahun berada di ruang rehat di tingkat atas rumah,” kata kenyataan itu hari ini.

Turut serta dalam operasi itu adalah polis dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.
Kenyataan itu menambah, anggota bertugas kemudiannya menggunakan peralatan ‘junkin bucket stretcher’ untuk membawa turun jenazah berkenaan.
Ujarnya, jenazah itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi punca-punca yang mendatangkan bahaya, anggota mengemas peralatan dan bertolak balik ke balai,” tambah kenyataan itu.