Dr Nazri Unni Foto THE STAR

SEBELUM rakyat Malaysia terus memperkatakan tanpa henti bagaimana kerajaan berurusan dengan pandemik Covid-19, mereka sewajarnya melihat perkara itu melalui ‘kaca mata’ seorang doktor kelahiran Pulau Pinang yang menghabiskan masa lebih dari setahun memerangi wabak itu di London.

Pakar rawatan intensif, Dr Nazri Unni, 39, telah merawat pesakit Covid-19 di Royal Free Hospital di London sejak Mac tahun lalu.

Dr Nazri yang kini berada di tanah air kerana bercuti selama tiga minggu berkata, beliau melahirkan perasaan kagumnya dengan cara kerajaan menangani pandemik tersebut.

“Di United Kingdom, mereka mengendalikan Covid-19 secara berbeza. Tidak ada pusat berisiko rendah mahupun pusat kuarantin.

“Pesakit Covid-19 dengan gejala ringan hanya diberitahu untuk kuarantin di rumah. Malah doktor terpaksa bergantung kepada pesakit supaya berwaspada dan berdisiplin, “katanya yang dipetik portal The Star.

Dr Nazri pada masa sama maklum akan tekanan pusat Covid-19 berisiko rendah kepada petugas barisan hadapan di Malaysia.

“Ia proses yang memerlukan banyak sumber dan terdapat banyak kos perlu ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Dr Nazri pada masa sama memuji langkah kerajaan melaksanakan sekatan perjalanan di Malaysia.

“Di sini terdapat sekatan jalan raya di sempadan negeri malah juga sekatan perjalanan antara daerah.

“Di United Kingdom (UK), mereka hanya membuat pemeriksaan bersasar dan sekatan hanya dibuat pada musim-musim khas atau cuti.

“Untuk kawalan sempadan, ia hanya diperkenalkan pada Februari tahun ini malah tiada sekatan jalan raya. Hanya ada garis panduan dan nasihat sekatan,” katanya.

Beliau berkata, kesediaan rakyat Malaysia secara amnya untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan sangat mengagumkan.

“Di sini, penduduk nampaknya rela memakai pelitup muka sedangkan di UK, terdapat banyak tentangan untuk memakai pelitup muka ketika awal tempoh pandemik.
“Ia memerlukan banyak pendidikan dan kesedaran sebelum orang ramai di UK mula memakainya,” katanya.

Selain itu kata Dr Nazri, Malaysia mempunyai kelebihan dalam sistem pengesanan kontak melalui aplikasi MySejahtera.

“MySejahtera adalah aplikasi yang terperinci dan dibangunkan dengan baik yang mana saya melihat kepatuhan yang baik dari orang ramai untuk menggunakannya.

“Di UK, pada awalnya tiada sistem elektronik. Hanya terdapat perbincangan antara pesakit-doktor untuk memeriksa ke mana pesakit pergi dan siapa kontak rapat mereka.

“Namun kemudian selepas kes meningkat naik, mereka membangunkan satu sistem kerana mustahil untuk melakukan perbincangan dengan setiap pesakit bagi mengesan kontak rapat.

“Namun oleh kerana kebimbangan privasi dan pencerobohan maklumat peribadi, terdapat kepatuhan yang lemah dalam menggunakan aplikasi itu,” katanya.

Dr Nazri bagaimanapun berkata, terdapat langkah diambil UK yang mungkin dapat dimanfaatkan Malaysia.

“Saya percaya perkara paling penting yang harus difokuskan oleh Malaysia sekarang adalah pemberian vaksin secara besar-besaran kerana sekatan pergerakan hanya langkah sementara.

“Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari UK adalah kadar pemberian vaksin yang sangat cepat.

“Mereka memberikan vaksin kira-kira 400,000 orang sehari dan sekarang, lebih dari 27 juta penduduknya telah divaksin atau bersamaan kira-kira 40 peratus dari keseluruhan populasi” katanya.

Dr Nazri selain itu berkata, lebih banyak sumber di Malaysia boleh digunakan.

“Saya masih ingat di UK, pernah situasinya lebih teruk dari Malaysia sekarang,” katanya.

Kata Dr Nazri, jumlah katil wad unit rawatan rapi (ICU) di Royal Free Hospital ditambah  daripada 34 unit kepada lebih 90 buah katil.

Ujarnya,dari September tahun lalu hingga Mac tahun ini, UK mempunyai kira-kira 25,000 pesakit di ICU.

“Bagaimanapun, ketika UK memiliki lebih banyak sumber terperinci,mereka dengan pantas menempatkan semula lebih banyak sumber manusia dan sumber tenaga,” katanya.

Sementara itu, Dr Nazri berkata,  tentera Britain turut ditugaskan untuk tugas seperti menolong jururawat di wad dan menggerakkan serta menguruskan sumber hospital.

“Pelajar perubatan juga ditugaskan untuk membantu dan mengatur panggilan video agar pesakit dapat bercakap dengan keluarga mereka.

“Saya rasa ini adalah langkah cepat dan baik yang dapat diteliti oleh Malaysia untuk membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dan menangani wabak itu,” katanya.