WALAUPUN kadar kebolehjangkitan kini di bawah 1.0. buat pertama kali sejak 7 April namun Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah mengingatkan,

Malaysia masih belum ‘selamat sepenuhnya’ dalam perang melawan pandemik Covid-19.

Beliau berkata kejatuhan dalam kadar kebolehjangkitan atau RO di bawah paras 1.0 tidak bererti sekatan penuh dapat dilonggarkan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lagi dipatuhi.

“Keadaan masih belum selamat sepenuhnya. RO cuma kadar kebolehjangkitan. Kes masih tinggi. Kita masih perlu melaksanakan kawalan kendiri dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Jika kita semua boleh melakukan ‘self-lockdown,’ kita dapat mengurangkan lagi bilangan kes dengan lebih cepat,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bahawa kes Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan yang menurun menunjukkan keberkesanan perintah sekatan penuh.

Sebanyak 5,271 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikannya hari keempat berturut-turut penurunan kes. Sementara itu, RO jatuh kepada 0.99 berbanding 1.0 sehari sebelumnya.

Wan Saiful mendakwa perkembangan itu menafikan dakwaan bahawa kerajaan tiada perancangan terperinci, sebaliknya keputusan Putrajaya dilihat membawa hasil positif.

Hari ini Malaysia merekodkan 7,548 kes sembuh , angka tertinggi dicatatkan sejak wabak itu melanda negara, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 534,357.

Pada 3 Jun, negara melaporkan 7,049 kes sembuh daripada virus itu.

Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh harian mengatasi jumlah kes baharu yang mencatatkan 5,271 kes dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu penurunan untuk empat hari berturut-turut.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah 622,086 dengan jumlah kes aktif kini 84,269.