tembak mati empat

PENGHUJUNG bulan lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah memberi amaran tegas kepada semua kilang di negeri berkenaan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Ayob Khan, beliau sendiri telah turun memberi amaran selepas menerima aduan masih ada kilang mengabaikan pematuhan SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tak kira dia warganegara mana pun. Ikut peraturan dan undang-undang di Malaysia. Ada lagi aduan, saya akan arah tutup kilang.” kata beliau dalam nada tegas.

Hari ini, Ayob Khan sekali lagi mengulangi komitmen sama untuk memastikan sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi dalam PKP penuh kali ini terus mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, kata beliau, Polis Johor akan mempergiat lagi operasi pasukan pemantauan melibatkan pematuhan SOP COVID-19.

Beliau berkata, pasukan pemantauan polis Johor juga bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjalankan pemantauan berterusan.

“Kita memang mempergiat lagi operasi pasukan pemantauan dengan tumpuan kepada kilang-kilang dengan kolaborasi bersama agensi terbabit. Banyak lagi yang melanggar SOP.

Baca artikel berkaitan: Tak kira siapa, tak nak ikut peraturan, saya arah tutup kilang – Ayob Khan

“Pada masa sama, ada juga orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP. Kebanyakan yang dikenakan kompaun adalah tidak memakai pelitup muka. Ada juga yang buat parti persendirian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, walaupun tumpuan banyak diberikan kepada operasi melibatkan pematuhan SOP COVID-19, namun polis Johor tidak pernah ‘tidur daripada operasi’.

Kata beliau, operasi melibatkan jenayah lain terus dilaksanakan tanpa mengira waktu.

“Tiada masalah, operasi kita berterusan. Di Johor ini, kita sentiasa laksanakan operasi. Kita takkan berhentikan operasi.

“Walaupun fokus pada COVID-19 tetapi pada masa sama kita tak abaikan fungsi dan tugas utama polis,” jelas beliau.

Mengulas mengenai tangkapan melibatkan aktiviti judi, Ayob Khan berkata, polis Johor telah menjalankan 1,126 serbuan dan menangkap 1,496 suspek dalam pelabgai operasi sejak awal tahun sehingga semalam.

Katanya, serbuan ke atas judi loteri awam adalah tertinggi iaitu sebanyak 705 dengan 707 suspek ditahan manakala 366 serbuan judi dalam talian telah membuatkan 47 ditangkap.

“Selain itu, kita juga melakukan empat serbuan pusat panggilan melibatkan 24 suspek dicekup; 31 serbuan judi dalam bangunan dengan 210 suspek ditangkap; judi tempat bebas melibatkan lapan serbuan dengan 50 tangkapan dan 14 serbuan judi bookie kuda yang menyaksikan 28 orang ditahan.

“Kita juga bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat dengan judi dalam talian dengan setakat ini 32 permohonan telah dibuat.

“Polis Johor akan terus menjalankan operasi ke atas aktiviti perjudian haram ini,” kata beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram