AppleMark

Satu masa dahulu, ada seorang lelaki yang berasa kasihan dengan orang-orang Islam di Malaysia yang ingin menunaikan haji.

Para jemaah terutamanya orang-orang kampung terpaksa bergolok gadai, menjual ternakan, sawah, tanah atau menggadaikan harta benda mereka demi mendapatkan wang untuk menunaikan rukun Islam kelima ini.

Lalu, pada tahun 1959, lelaki ini mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji’.

Buah ideanya diterima. Hasil kertas kerjanya itu, pada November 1962 tertubuhlah ‘Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji’. Perbadanan ini ditubuhkan bagi membantu mereka yang mahu mengerjakan haji dengan menyimpan wang sedikit demi sedikit tanpa melibatkan perkara-perkara haram.

Perkhidmatan dan kemudahan melalui perbadanan ini dipertingkatkan. Dan apabila digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang ketika itu beroperasi di Pulau Pinang, maka pada tahun 1969 lahirlah Lembaga Tabung Haji.

Bangunan utamanya terletak di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. Bukan hanya menguruskan perjalanan jemaah haji, bahkan Tabung Haji juga merupakan institusi kewangan yang berjaya terutama dalam menguruskan perbelanjaan pergi dan pulang dari Mekah.

Bangunan utama Tabung Haji.

Paling penting, orang Islam tidak perlu lagi bimbang dengan sistem bank konvensional. Lebih penting, mereka tidak perlu lagi bergolok gadai seperti dahulu untuk ke Mekah.

Bermula dari sebuah kertas cadangan, Tabung Haji kini merupakan pengurus dana Islam terbesar di Malaysia.

Hasil keuntungan pelaburan dalam pelbagai sektor membolehkan Tabung Haji memberi subsidi kepada jemaah haji, sekali gus membantu mengurangkan kos untuk jemaah yang ingin menunaikan ibadah tersebut. Malah, kejayaan Tabung Haji turut menjadi buah mulut jemaah luar negara.

Semuanya bermula daripada idea lelaki tersebut. Seorang anak Melayu genius yang pernah menuntut di Universiti Maseda di Jepun dalam bidang ekonomi.

Lelaki itu berusia 37 tahun semasa dia muncul dengan idea kertas kerja tersebut yang akhirnya membawa kepada penubuhan Tabung Haji pada hari ini.

Siapa lelaki tersebut?

Beliau ialah Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Cendekiawan Melayu yang banyak menyumbang jasa kepada agama, bangsa dan negara ini meninggal dunia pada 15 Disember 2020 ketika berusia 98 tahun kerana sakit tua.

Almarhum Profesor Ungku Abdul Aziz, genius Melayu yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

_________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram