BUAT pertama kalinya, syarikat rakaman Luncai Emas bekerjasama dengan penyanyi Mafarikha menerusi sebuah lagu klasik, Kabut Serangkai Mawar yang pernah dipopularkan oleh Zaiton Sameon telah dipilih untuk digubah semula dan dijadikan sebagai sebuah ʻremakeʼ.

Dengan lontaran suaranya yang lantang dan kebolehannya untuk menyampaikan emosi serta jiwa yang merinding dengan nyanyiannya, dipersetujui bahawa Mafarikha adalah calon yang terbaik untuk kolaborasi ini.

Ujar Mafarikha atau nama penuhnya Mafarikha Akhir, dia berdepan cabaran paling besar hingga membuatkan dirinya berasa risau tatkala diberi tanggungjawab menyanyikan semula lagu itu secara langsung sehingga habis.

“Selain daripada itu, saya mengambil tempoh yang lebih panjang untuk rakam lagu ini berbanding lagu yang pernah saya nyanyi sebelum ini untuk mendapatkan nota dan ‘phrase’ yang terbaik.

“Penjiwaan datang daripada pengalaman hidup yang saya jarang berkongsi. Bila kita gembira kita akan menikmati lagu, tapi bila kita sedih kita akan fahamkan lirik. Saya fahamkan lirik dan buat sedikit kajian tentang lagu ini, kebetulan lebih kurang dengan situasi yang saya pernah lalui.

“Kalau nak ikutkan, ini antara lagu paling susah saya pernah nyanyi kerana bila ‘tempo’ sudah di turun kan, kita kena mengekalkan nota itu lebih lama. Mungkin part klimaks dan korus yang terakhir kerana dia ‘back to back high notes’,” katanya.

Menyifatkan Zaiton sebagai seorang legenda yang memiliki suara merdu, Mafarikha teruja apabila diberi peluang untuk merakamkan semula lagu yang pernah popular satu ketika dahulu.

“Kalau nak cakap minat, mak saya lagi minat dengan Zaiton. Menaruh Harapan memang antara lagu paling kegemaran mak-mak kita. Daripada situ saya tahu tentang Zaiton. Saya belum pernah jumpa tapi cerita Zaiton Ceritaku adalah antara cerita yang saya paling suka. Dia memang seorang legenda!

“Saya harap lagu ini dapat mengingatkan generasi baru tentang kegemilangan karya-karya lama yang puitis dan banyak menyentuh perasaan sambil menerima susunan yang lebih modern. Kalau boleh tak usah banding-bandingkan… biarlah kedua-dua versi pun boleh diingati,” ujarnya.

Sementara itu, maestro muzik yang juga pencipta asal lagu berkenaan, Datuk M. Nasir berpendapat kualiti suara yang dimiliki oleh Mafarikha telah membuatkan lagu Kabut Serangkai Mawar berada di kelas yang tersendiri.

“Dia telah membawa lagu itu ke tahap yang tersendiri…suaranya memang sedap dan unik. Itu antara faktor mengapa dia terpilih untuk merakamkan semula lagu tersebut.

“Saya teringat waktu bekerja dengan Zaiton tak lama sebelum dia ditimpa kemalangan ketika lagu ini ditulis. Itulah antara kenangan yang tak boleh dilupakan bila lagu ini dirakamkan kembali.

“Insya-Allah, saya sudah ada perancangan untuk membuat lagu-lagu baharu yang sesuai untuk Mafarikha,” tuturnya.

Untuk mencapai kualiti lagu yang diinginkan, Ashraf Aasimudin telah dipilih khas oleh Mafarikha untuk menjadi produser kepada lagu Kabut Serangkai Mawar 2021. Dengan kerjasama ahli-ahli Luncai Emas yang penuh bakat dan tunjuk ajar sifu M. Nasir, gubahan baru ini telah berjaya dijadikan sebuah ʻmasterpieceʼ.

Penggubahan semula lagu tersebut adalah usaha dan kerjasama pelbagai pihak di mana hasilnya merupakan satu penyampaian yang indah.

Mafarikha telah berjaya menyalurkan suara lantangnya ke dalam lagu ini dengan penuh emosi dan penghayatan, serupa dengan Zaiton namun dengan keunikan dan karakter tersendiri.

Mafarikha menjadi satu-satunya artis wanita di bawah naungan Luncai Emas.