Gambar Hiasan.

PELUANG pekerjaan lebih-lebih lagi sewaktu tempoh pandemik COVID-19 ini sememangnya terhad.

Setiap graduan atau pelajar sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk ‘lari bidang’ dengan menyertai ekonomi gig semata-mata mencari mata pencarian.

Namun begitu, masih ada golongan yang cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain dengan melakukan penipuan.

Itu berlaku kepada seorang pelajar berusia 23 tahun di Melaka yang telah diperdaya oleh sindiket pekerjaan tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan, mangsa yang terdesak mencari pekerjaan telah terlihat iklan peluang bekerja melalui EZJOB dalam laman sosial Facebook.

Kata beliau, mangsa yang juga seorang pelajar itu kemudiannya berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan diminta membuat 60 tugasan dengan setiap tugasan dijanjikan menerima wang.

Baca artikel berkaitan: Kononnya ada tunggakan bil, kerani akaun rugi RM101,000

Sundra Rajan memaklumkan, tugasan tersebut hanya memerlukan mangsa untuk menekan tanda suka pada video dan melihat iklan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimaklumkan telah memperoleh pendapatan berjumlah RM17,290.13 hasil tugasan yang dilakukannya.

“Namun begitu, bagi menebus wang berkenaan, suspek telah meminta mangsa membuat pembayaran terlebih dahulu.

“Mangsa bersetuju dan telah membuat lima transaksi pembayaran berjumlah RM12,810, 4 Mei lalu ke akaun bank diberikan suspek tetapi selepas pembayaran dibuat, suspek memberitahu wang berkenaan masih tidak mencukupi untuk menebus pendapatan yang diterima dan meminta membuat pembayaran lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengikut arahan dan meminta suspek untuk memulangkan semula wang tetapi suspek gagal dihubungi.

Katanya, mangsa yang berasa ditipu telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu di Balai Polis Merlimau, Melaka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Mangsa maklumkan sumber wang yang digunakan adalah hasil daripada wang simpanannya dan ahli keluarga,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram