YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, hari ini.

Memetik hantaran Facebook Istana Negara sebentar tadi, sesi menghadap itu untuk mesyuarat Pra-Kabinet seperti mana lazimnya.

“Sesi hari ini berlangsung selama satu jam bermula jam 8 pagi.

“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata hantaran itu.

Baca artikel berkaitan: PM rafak sembah tahniah sempena keputeraan Agong

Seperti mana semua maklum, Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka pada hari berlangsungnya mesyuarat mingguan Kabinet.

Namun, sesi hari ini menjadi tumpuan media hinggakan ramai jurugambar dan wartawan berkumpul di pekarangan Istana Negara berikutan terdapat spekulasi politik mutakhir ini.

Walau bagaimanapun seperti mana makluman di Facebook Istana Negara, sesi hari ini juga seperti sesi menghadap sebelum ini bahawa ia aktiviti rutin mingguan antara ketua negara dan ketua kerajaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram