NAJIB TUN RAZAK Foto FACEBOOK NAJIB RAZAK


GAMBAR ‘kemusnahan’  kawasan sekitar Tasik Chini di Pekan, Pahang yang sedang tular di media sosial ialah gambar yang dirakam dua tahun lepas.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan maklumat awal diterima daripada pihak berkaitan, dalam tempoh itu juga, beberapa langkah yang dirancang sudah pun diambil untuk menyelesai dan memulihkan keadaan itu.

Pautan laporan berita sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan aktiviti perlombongan haram di Tasik Chini dua tahun lalu.


Menurut bekas perdana menteri itu, beliau akan mengemas kini keadaan terkini selepas mendapat taklimat dalam tempoh terdekat.

“Gambar yang sedang tular dan didakwa keadaan terkini akibat aktiviti perlombongan di Tasik Chini di Pekan ialah gambar yang dirakam dua tahun lepas.

“Saya akan update (kemas kini) keadaan terkini selepas saya diberi taklimat penuh sehari dua ini,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Najib turut menyertakan pautan laporan berita sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan  sekurang-kurangnya dua aktiviti perlombongan haram tanpa mematuhi spesifikasi dan menjejaskan alam sekitar ditemukan beroperasi berhampiran Tasik Chini.

Lombong itu terletak di sebuah tapak pembinaan dan bersebelahan tasik serta berhadapan Pusat Penyelidikan Tasik Chini.

Sejak semalam, tular gambar di media sosial yang menunjukkan keadaan Tasik Chini yang dikatakan terancam berikutan aktiviti perlombongan.

Berikutan itu, warga maya meluahkan kesedihan mereka apabila melihat Tasik Chini yang terkenal dengan keindahan tasik semula jadi.

Sehubungan itu, orang ramai meminta tindakan penguatkuasaan dilakukan untuk memelihara tasik berkenaan daripada terancam.