Hati-hatilah ucapkan KALAU. Boleh mudaratkan diri?

0
21
kalau boleh mudaratkan diri

Baginda Rasulullah s.a.w. menyebutkan bahawa setiap manusia mesti ada keinginan yang baik. Ini kerana kehidupan manusia dipengaruhi oleh keinginan. Keinginan itu pula ada di dalam hati iaitu berupa niat. Apabila baik hatinya, maka keinginannya akan baik.

Keinginan juga boleh dikatakan sebagai matlamat atau tujuan, dan boleh juga dikategorikan sebagai cita-cita. 

Orang yang sentiasa berusaha dan yakin serta sentiasa berdoa kepada Allah hanya akan menggunakan KALAU bagi mencapai cita-cita dan matlamatnya seperti,

“Kalau aku nak kaya, aku kena kerja keras.”

Kata-kata yang diucapkan seperti itu menunjukkan seseorang itu mempunyai matlamat diri. Tetapi matlamat ini haruslah disertakan dengan usaha, dan bukan hanya sekadar kata-kata kosong yang tidak mempunyai makna.

Namun begitu, kalimah “kalau” bukan sahaja boleh membawa kerosakan akidah, malah turut memberi kesan pada aspek psikologi. Tanda-tanda awal akan kehadiran hasutan dan bisikan syaitan ini ialah apabila diri seseorang menyesal atas perkara lampau yang tidak dapat diubah lagi. Sifat penyesalan ini boleh membawa tekanan ataupun stress.

Kadang kala tekanan ini boleh menjadi baik serta memberi impak positif dan begitu juga sebaliknya. Tekanan dalam bentuk positif  mampu menjadikan seseorang bekerja keras untuk berjaya.

Dan yang nyata, seseorang yang mampu mengawal tekanan ini merupakan orang yang menjaga hubungannya dengan Allah S.W.T.

Tekanan wujud dalam diri setiap manusia tanpa dicari. Dan kadang kala ia wujud kerana diri sendiri yang mencari dan kerana lemahnya jiwa seseorang. Jiwa yang lemah ini datangnya dari rohani, jasmani, akal dan emosi yang lemah.

Namun yang paling utama adalah dari segi rohani. Ini kerana rohani merupakan sesuatu yang datang dari hati. Hati yang lemah menandakan rapuhnya hubungan seseorang itu dengan Allah S.W.T. sehingga menyebabkan timbulnya rasa sempit dalam dada seolah-olah tiada jalan keluar dari masalah.

Apabila kita lalai untuk mengingati Allah, maka jiwa dan rohani akan sentiasa berada dalam kesengsaraan. Firman Allah S.W.T. dalam surah Taha: 124,

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta

Kesan dari tekanan ini bukan sahaja mampu merosakkan jiwa seorang individu, bahkan memberi kesan terhadap individu lain seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling sehingga sampai ke suatu tahap, ia boleh memutuskan hubungan silaturrahim.

Antara punca kelemahan rohani yang membawa kepada tekanan ialah sama ada kelemahan hati, pengaruh nafsu dan kelemahan akal

Justeru, sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk bermuhasabah. Orang yang sentiasa muhasabah ialah orang yang menilai hasil amalan yang dilakukan sehari-hari. Apa yang kurang akan diperbaiki dan setiap tingkatan amal ibadah akan ditambah.

Allah S.W.T. telah memberikan panduan yang terbaik bagi mengurangi tekanan dengan berfirman dalam surah al-Baqarah: 155,

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram