JEBAK PUYUH : Perangkap yang dipenuhi kesenian Melayu

0
119

Foto : Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM)

Anda suka makan burung puyuh? Hari ini memang mudah untuk mendapatkan hidangan burung puyuh kerana haiwan ini sudah boleh diternak. Tetapi pada zaman dahulu, burung ini perlu ditangkap dari habitat asalnya.

Dahulukala, mana ada orang ternak burung puyuh. Sebab itu haiwan ini perlu dijerat. Namun, menangkap puyuh liar tidaklah mudah. Burung ini terkenal dengan sifatnya yang kelihatan jinak tetapi amat sukar didekati atau ditangkap dengan tangan kosong.

Sebab itu, orang Melayu dahulu telah mencipta sejenis alat khas bagi memerangkap burung puyuh liar ini.

Kemahiran menangkap burung puyuh liar mendapat tempat tersendiri dalam masyarakat dahulu sebagai hobi di masa lapang, terutama selepas musim menuai padi. Selain itu, burung ini ditangkap untuk mendapatkan dagingnya.

Sejenis alat yang dipanggil ‘Jebak Puyuh’ digunakan untuk memerangkap burung ini.

Jebak Puyuh.

Jebak Puyuh berbentuk sangkar separuh bulatan dengan tapak rata, dan mempunyai mekanisme jerat bagi memerangkap burung puyuh liar. Bahagian serungkup berbentuk separuh bulatan biasanya dianyam kemas daripada pokok ribu-ribu (sejenis tumbuhan paku pakis dari jenis Lygodium).

Bahagian serungkup dianyam daripada pokok ribu-ribu.

Manakala, bahagian tapak rata diperbuat daripada kayu bahagian atas atau kepala jebak dihiasi ukiran motif-motif Melayu. Sebagai contoh, ukiran motif yang selalu digunakan ialah motif awan larat, bunga kunyit, kaligrafi dan sebagainya.

Selain itu, bahagian serungkup merupakan sangkar yang dilengkapi dengan bekas makanan dan minuman untuk kegunaan burung puyuh denak. Ia berfungsi sebagai pemikat burung puyuh liar.

Bahagian kepala jebak yang dihiasi kaligrafi yang bermaksud ‘Jebak ini orang buat untuk burung puyuh’.

Jebak puyuh biasanya diletakkan di tepi semak atau sawah yang menjadi tempat laluan burung puyuh liar. Burung denak akan mengeluarkan bunyi sebaik puyuh liar mendekati jebak.

Mekanisme jerat pada jebak puyuh bergantung pada sejenis tongkat di hadapan pintu utama alat perangkap ini. Apabila puyuh liar sibuk berlawan dengan denak dalam jebak, ia akan melanggar tongkat tersebut. Jerat akan jatuh lalu memerangkap puyuh liar itu.

Pada kebiasaannya, bahagian jerat akan dilengkapi loceng dan mengeluarkan bunyi sebaik saja jerat terjatuh. Ia secara tidak langsung berfungsi sebagai penggera kepada pemilik jebak bahawa jerat telah mengena.

Seni menjebak puyuh memerlukan kesabaran yang tinggi. Tambahan pula, bukan mudah untuk memastikan burung puyuh liar terpikat dengan denak yang diletakkan di dalam jebak. Ia memerlukan satu bentuk latihan khas supaya denak mampu menghasilkan bunyi-bunyian untuk memikat burung puyuh liar yang cuba mendekati jebak.

Bertitik-tolak dari hobi masa lapang dan memenuhi kehendak bagi mendapatkan daging burung puyuh, pembuatan jebak juga diberi sentuhan nilai kesenian yang tidak kurang hebatnya oleh orang-orang Melayu dahulu.

Jebak puyuh banyak didapati di negeri pantai timur. Ia dihasilkan dengan teliti, seumpama sejenis alat yang sangat penting. Nilai pengetahuan dan teknologi alam Melayu bukan hanya terletak pada jebak puyuh dan mekanisme memerangkap haiwan itu semata-mata.

Jika difahami dengan teliti, ia turut berkait rapat bagaimana orang-orang Melayu dahulu memahami dan berinteraksi dengan alam semula jadi.

Sebuah jebak puyuh tidak akan dapat memerangkap burung puyuh liar tanpa bantuan denak. Ia perlu dilatih agar tidak menghampakan pemilik alat perangkap ini.

Sebagai peralatan untuk hobi di masa lapang, jebak puyuh selalunya dihias dengan cantik dan kadangkala menggambarkan status pemiliknya.

Kini, meskipun tidak ramai yang tahu menjebak puyuh, namun alatan tersebut masih ada peminatnya. Ia dijadikan hiasan dan kadangkala diubahsuai untuk dijadikan sangkar haiwan peliharaan domestik lain seperti kucing dan sebagainya.

Daging burung puyuh enak dijadikan pelbagai resepi masakan.

__________

Nak resepi rendang puyuh, klik di sini : Resipi rendang burung puyuh

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram