Misteri Kem Tentera. Dia datang selepas pukul 12 malam

0
307

Benarkah banyak berlaku kejadian misteri di kem-kem tentera? Khabarnya di kuarters dan bangunan serta gudang menyimpang kelengkapan tentera misalnya, biasa terjadi kejadian-kejadian aneh.

Seorang pembaca Mastika pernah menceritakan bagaimana dia tidak dapat tidur kerana diganggu bunyi serta jelmaan-jelmaan menakutkan semasa menginap beberapa malam di sebuah kem transit di Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke kem Tawau, Sabah kira-kira 40 tahun lalu.

Tetapi di kem tentera Tawau pun banyak kejadian misteri.

Apakah kisah-kisah misteri itu? Mastika akan sambung pada hari lain. Untuk malam ini, Mastika ingin sajikan kisah ini dahulu, yang berlaku di sebuah kem tentera di Pahang.

Kisahnya begini…

Pukul 8.00 malam itu, Prebet Zakaria Putih memulakan tugasnya di bilik hubungan kem tersebut. Sejak bertugas di situ beberapa bulan lalu, itulah kali pertama Zakaria bertugas di situ.

Hanya lima panggilan sahaja yang masuk sejak Zakaria memulakan tugasnya tadi. Namun menjelang pukul 12 malam semakin kerap telefon berdering. Tidak menang tangan dia menjawabnya.

Namun Zakaria mula terasa ada sesuatu yang pelik kerana semua panggilan itu tidak ada suara yang didengar di hujung talian, kecuali deruan angin.

Menjelang pukul 12.45 malam, Zakaria mula mengantuk. Empat lima kali dia menguap. Belum sempat dia melelapkan mata, telefon berdering lagi.

TUTTTTT! TUTTTTTT!

Zakaria pandang lampu di papan suis yang masih berkelip-kelip. Hatinya berbelah bahagi, hendak jawab atau tidak. Akhirnya dia biarkan sahaja bunyi itu berhenti sendiri.

Melihat lampu di papan suis tidak berheti-henti menyala, badannya terasa seram sejuk. Tambahan pula apabila mengenangkan hanya dia seorang sahaja di situ. Kalau tiba-tiba dia diganggu ‘benda itu’, siapa akan menolongnya. Jika dia menjerit sekalipun tidak ada siapa yang akan mendengar. Bangunan semboyan itu terletak di atas bukit, terpisah jauh daripada bangunan lain.

Gambar hiasan: Bangunan itu terletak di atas bukit, jauh terpisah dari bangunan-bangunan lain.

“Ah lantaklah, baik aku tidur,” Zakaria cuba menyedapkan hatinya. Dia terus merebahkan badan di katil bujang, tiga meter dari meja suis. Tidak sampai lima minit dia terus terlena.

TOK! TOK!TOK! TOK!

Bunyi pintu yang diketuk dengan kuat mengejutkannya. 

“Habis aku kali ni,” Zakaria menjadi cemas. Biasanya jika panggilan telefon tidak diangkat ia secara automatik akan dipindahkan ke rumah pegawai bertugas. Kalau benarlah itu yang terjadi, memang nahaslah.

Zakaria bergegas bangun, bersedia untuk mengangkat tabik jika perlu. Tapi pelik, apabila pintu dibuka tidak ada sesiapa pun di luar. 

Dia meninjau ke koridor. Tidak ada kesan tapak kasut. Kalaulah benar pegawai bertugas baru mengetuk pintunya tadi, tentu ada kesan tapak kasut dan rumput basah tertinggal di simen kerana hanya ada satu jalan sahaja untuk sampai ke bangunan tersebut, iaitu sebuah padang rumput. Dia bertambah bingung.

“Lepas ni kalau ada lagi orang ketuk pintu memang nahas. Sampai mati aku tak akan buka!” Zakaria merungut sambil menghempaskan daun pintu.

Dia benar-benar marah. Tiada lain yang bermain di fikirannya kecuali kawan-kawan. Tentu merekalah yang  mempermain-mainkannya. Tunggulah hari siang, akan disesah kawan-kawannya nanti.  

Zakaria terus melayan perasaan marahnya itu hingga sedar tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Dia bangun lalu menarik katil bujang hingga rapat dengan meja papan suis, senang kalau telefon bunyi. Capai saja… Dengan hanya berbantalkan lengan, dia terus terlena.

TOK! TOK! TOKKK!

Sekali lagi pintu diketuk bertalu-talu. Bunyinya mengejutkan Zakaria.

“Siapa tu?” jeritnya. Kali ini Zakaria tidak berani membuka pintu.

“Siapa tu?” lagi sekali Zakaria bertanya. Dia hanya menunggu sahaja kalau-kalau ada yang menjawab pertanyaannya. Namun, tidak ada sesiapa yang menyahut.

Perlahan-lahan Zakaria bangun dan melekapkan telinganya pada daun pintu. Pun tidak ada apa yang didengar.

Dia naik semula ke atas katil dan duduk bersila sambil merenung lampu di papan suis yang terus berkelip-kelip. Dia bingung dan tertanya sendiri. Apa yang tidak kena dengan bilik ni?

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk lagi, semakin lama makin kuat. Zakaria hanya memerhatikan sahaja pintu yang bergegar. Perasaan takut sudah hilang, diganti dengan marah kerana  dipermain-mainkan.

“Aku tak kira, siapa yang ada, aku tumbuk! Lantaklah, nak jadi apa pun jadilah!”

Penumbuknya digenggam kemas, sedia untuk dilepaskan bila-bila masa sahaja. Perlahan-lahan tombol dipulas, daun pintu direntap dan…! 

Pintu ternganga luas tetapi Zakaria tidak jadi melepaskan tumbukan kerana tiada sesiapa di hadapannya! 

PAGI ITU, ketika Koperal Ghani, rakan sekerjanya mengambil alih tugas, Zakaria masih tersandar di kerusi dengan wajah layu. 

“Hei… kenapa ni?” tanya Ghani sambil menepuk bahu kawannya itu.

“Entahlah, satu malam saya tak dapat tidur. Telefon asyik bunyi saja, bila diangkat tak ada orang jawab. Pintu bilik pun kena ketuk tak henti-henti. Bila buka tak ada orang,” cerita Zakaria.

Ghani pandang Zakaria sambil ketawa. “Tu perkara biasa, semua yang pernah bertugas malam di sini akan mengalaminya. Lain kali kalau dengar telefon lepas 12.00 malam jangan angkat. Kalau pintu diketuk, jangan buka,” kata Ghani.

“Kenapa pulak?” tanya Zakaria.

“Itu kerja mendiang Sarjan Ramu dari Unit Peninjau,” kata Ghani menyebabkan Zakaria tersentak.

Mendiang Sarjan Ramu?

“Ya, Sarjan Ramu. Dia mati bunuh diri di pintu tu. Yang ketuk pintu tu, dialah,” terang Ghani.

Menurut Ghani, bunyi pintu diketuk boleh didengar setiap malam. Siapa sahaja yang pernah bertugas di situ, pasti akan mengalami peristiwa tersebut.

Malah ada juga anggota yang bertugas di bilik tersebut terserempak dengan satu jelmaan menyerupai Sarjan Ramu tergantung di depan pintu.

“Lidahnya terjelir dan mata terbeliak, sama dengan keadaan mayat Sarjan Ramu semasa ditemui tergantung,” tambah Ghani sambil meraup roma di lengannya yang tiba-tiba berdiri tegak.

Kejadian itu masih lagi berlaku hingga sekarang.

Itulah kali pertama dan terakhir Zakaria bertugas di situ. Sejak itu kalau diarahkan bertugas di sana, dia akan beri 1001 alasan untuk mengelak.