DEMI meneruskan langkah dalam industri muzik dan dakwah tanah air, kumpulan nasyid Simfoni kini mempertaruhkan single terbaru berjudul Terushasil ciptaan Fadzli Far East dan Ito Lara.

Menurut ketua kumpulan Simfoni iaitu Imtiaz, susunan muzik bagi lagu ini disusun oleh Amybong manakala penerbit oleh Fadzli Far East dan Wan Sallehuddin.

“Untuk single kali ini, kami turut berkolaborasi dengan penyanyi legenda dari band popular 90-an iaitu Ezad Lazim dari kumpulan Exists.

“Kami memilih Ezad sebagai rakan duet kerana lontaran vokal dan aura dimilikinya dilihat mampu memberi rasa dan variasi vokal yang menarik dalam penyampaian lagu yang bergenre pop seperti ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ifham, single tersebut merupakan hadiah yang diberikan oleh Fadzli buat dirinya dan dia memilih untuk merakamkan lagu terbabit bersama Simfoni.

“Lagu Terus sebenarnya merupakan hadiah daripada Fadzli kepada saya atas kemenangan saya menerusi pertandingan nyanyian semula lagunya berjudul Carilah Aku di Neraka pada 2019 dan saya memilih untuk menyanyikan lagu ini bersama kumpulan Simfoni.

“Ia sebuah lagu yang munyuntik semangat kepada pendengar supaya bangkit dan tidak mudah mengalah dalam apa jua situasi sukar yang dilalui dalam hidup.

Setiap cabaran yang dilalui harus dijadikan penguat untuk bangkit dan tidak berhenti dalam usaha memperbaiki diri dari segala aspek samaada kerjaya, pembangunan diri ,keluarga,pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.

Penggambaran muzik video lagu itu dijalankan di sekitar negeri Kedah Darul Aman. Antara tempat menarik yang menjadi pilihan adalah Cafe The Place by DECO Alor Setar, Dewan Besar Ukir Mall Alor Setar, dan Masjid Sharifah Fatimah Jitra yang baru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia 2020.

Ditanya mengenai harapan kumpulan Simfoni terhadap lagu ini, Hazran menjawab “Kami mengharapkan lagu ini akan diterima ramai peminat, khususnya peminat kami sendiri serta peminat irama nasyid dan lagu-lagu ketuhanan, serta dapat mengambil iktibar dari mesej yang kami cuba sampaikan,” ungkapnya.