23 kes VOC dikesan dalam tempoh 6 hari, 4 libat varian Delta di KL, Putrajaya

0
559

EMPAT kes varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India dikesan dalam tempoh antara 3 hingga 8 Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook berkata, keempat-empat kes itu dikesan masing-masing dua di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Kata beliau, keseluruhannya sebanyak 23 kes varian yang membimbangkan (VOC) COVID-19 dikesan dalam negara, hasil survelan genomik secara berterusan dalam tempoh tersebut.

“Sebanyak 19 daripadanya varian Beta (B.1.351) yang merangkumi lapan kes di Selangor, tiga di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah 161 kes, dengan 145 kes VOC dan 16 kes VOI.

Jumlah VOC yang dilaporkan adalah 123 kes varian Beta (B.1.351), 13 kes varian Delta (B.1.617.2), sembilan kes varian Alpha (B.1.1.7), manakala VOI dikesan adalah 12 kes varian Theta (P.3), tiga varian Eta (B.1.525) dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1).

Baca artikel berkaitan: 5,671 kes baharu, Selangor turun, Kedah catat lonjakan

Varian ganas luar negara dikesan hampir di semua negeri

“Kementerian Kesihatan akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit, termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti,” katanya.

Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga, bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram