DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR./ Gambar media sosial

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali lagi menegaskan beliau masih Menteri Besar Terengganu yang sah.

Menjawab soalan wartawan, Ahmad Samsuri berkata, isu itu tidak timbul dan beliau kini menyerahkan hal berkenaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Secara berseloroh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu, walau ada 10 gambar individu lain jadi Menteri Besar Terengganu sekali pun, perkara itu tidak mengubah apa-apa.

“Saya masih menteri besar yang sah,” kata Ahmad Samsuri mengulas spekulasi yang mengatakan kononnya beliau tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalam Pas untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Beliau ditemui selepas melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu hari ini.

Dr Ahmad Samsuri melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu.

Ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya perpecahan dalam Pas Terengganu, Ahmad Samsuri mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan fitnah.

“Saya pun hairan, orang tak ingat api neraka agaknya, dia buat fitnah begini.

“Jadi, saya nak seru orang ramai, ingat sikit sebab buat fitnah itu api neraka ada dan kita ini hidup lama-lama, mati juga,” katanya seperti dilaporkan media.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah portal yang disifatkan sebagai fitnah pada Selasa lalu.

Antara dilaporkan mendakwa Ahmad Samsuri tersepit dengan pihak istana.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram