Pegawai perubatan memberikan suntikan Vaksin kepada orang ramai yang terpilih pada Program Imunisasi Covid-19 di Kuala Lumpur Convention Centre Kuala Lumpur (KLCC). GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh CHE MAN CHE WIL 

Enam hari lalu, United Kingdom mengumumkan buat pertama kali tidak ada kes kematian akibat Covid-19 sejak Mac 2020. Seorang rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut turut berkongsi satu rakaman video yang menunjukkan penduduk London sudah keluar minum-minum, makan-makan di restoran dan kafe tanpa perlu memakai pelitup muka lagi. 

Laporan terbaharu dari London juga menyebut virus Covid-19 dijangka berakhir di negara tersebut menjelang Ogos.  Ini adalah hasil daripada  program vaksinasi besar-besaran yang menyaksikan setiap penduduk United Kingdom memperoleh  sekurang-kurangnya sekali suntikan menjelang Julai ini. Pasukan Petugas Khas Vaksin negara tersebut menjangka menjelang Ogos rakyat negara itu sudah dilindungi daripada semua jenis varian pandemik berkenaan.

Beberapa negara Eropah pula sudah mula membuka sempadan negara masing-masing bagi tujuan pelancongan. Sepanyol sebagai contoh, mula membuka pintu masuk negaranya kepada pelancong dari seluruh dunia dengan syarat mereka sudah mengambil suntikan vaksin. 

Menteri Kesihatan Sepanyol Carolina Darias ketika mengisytiharkan Sepanyol adalah destinasti pelancongan yang selamat berazam mengembalikan negara itu sebagai destinasi pelancongan utama dunia. Beberapa negara lain juga mula membuka pintu sempadan masing-masing kepada para pelancong dari negara yang dikategorikan sebagai zon hijau

Negara jiran Malaysia, Thailand pada ketika ini sedang memperhebatkan program inokulasi atau suntikan vaksin dengan sasaran 70 peratus penduduknya disuntik menjelang akhir tahun ini sebagai persediaan membuka sepenuhnya sektor pelancongan kepada dunia luar tahun depan. 

Kementerian Kesihatan Thailand menyasarkan sejumlah 500,000 dos suntikan sehari bermula semalam berbanding hanya purata 100,000 dos sehari sebelum ini. 

Program vaksinasi besar-besaran di seluruh negara itu turut meliputi penduduk di Bangkok tempat tercetus gelombang pandemik terbaharu dan Phuket, destinasi pelancongan dunia yang akan mula dibuka kepada pelancong yang telah disuntik mulai 1 Julai ini.

Perkembangan ini sudah tentu menggembirakan dan turut dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.  Tanyalah sesiapa sahaja, pasti semua akan merindui untuk kembali kepada kehidupan normal sebelum pandemik ini melanda walaupun keadaan mungkin tidak 100 peratus sama lagi.

Kepada yang mampu, sudah tentu mahu ke luar negara setelah hampir setahun lebih tidak ke mana-mana dengan masa lebih banyak dihabiskan berkurung di rumah. Paling membuak-buak ialah kemahuan untuk  pulang ke kampung halaman menjenguk orang tua dan bertemu muka  dengan adik beradik dan sanak saudara.

Setiap orang pasti merindui untuk keluar makan angin bersama keluarga, bertemu rakan taulan atau menghadiri majlis-majlis sosial seperti kenduri kahwin dan pelbagai lagi.

Walaupun terdapat banyak kemudahan teknologi dan peranti terkini yang menjadi penghubung sepanjang tempoh berkurung dan berjauhan itu, aura keseronokan itu masih tidak sama dibandingkan berjumpa secara bersemuka, bertentang mata. 

Semua impian ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Malaysia akan menjadi seperti United Kingdom, Sepanyol, Thailand atau negara-negara lain jika sasaran imuniti berkelompok dapat dicapai. Bagi tujuan ini semua rakyat perlu berganding bahu bagi menjadikan Malaysia kembali ‘hijau’.

Usaha ke arah itu setakat ini sudah mula menampakkan hasil.  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sedang rancak berjalan mengikut perancangan dan berada pada landasan yang betul. Semalam sahaja sejumlah 151,309 dos diberikan satu rekod baharu dan melepasi sasaran 150,000 dos sehari seperti ditetapkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Kira-kira 60 peratus warga emas yang berdaftar pula dijangka menerima atau selesai dos pertama pada pertengahan bulan ini.

Bagi memperhebatkan gerakan mendapatkan seramai mungkin rakyat menerima vaksin,  program ini ditambah baik dari semasa ke semasa. Kira-kira 300 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu akan dibuka di seluruh negara bagi membolehkan 9.3 juta orang menerima suntikan dalam Fasa Kedua ini. 

Trak Vaksin Bergerak sudah mula memasuki kawasan penempatan penduduk di pinggir bandar atau kawasan kampung dengan sasaran golongan atau kumpulan yang tidak berupaya atau berkemampuan. Beberapa tempat sudah mula menyediakan kiosk vaksin pandu lalu. 

Kerajaan sudah melakukan pelbagai pendekatan dan usaha bagi membebaskan negara daripada pandemik. Setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab bagi memastikan usaha ini berjaya.  

Bukanlah sukar sangat pun dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang dikuatkuasakan ini.  Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang telah berjuta kali diperingatkan kepada seluruh rakyat.

Duduk diam-diam di rumah jika tidak ada perkara penting di luar, pakai pelitup muka, pakai sanitizer, jaga jarak fizikal dan pada masa yang sama tunaikan tanggungjawab mendaftar sebagai penerima vaksin. Itu sahaja!

  • Penulis adalah penganalisis politik