PRESTASI usahawan yang menyertai program latihan dan bimbingan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sentiasa dipantau bagi memastikan peserta sentiasa berada di landasan yang betul.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kementerian yakin melalui pelbagai program latihan dan bimbingan keusahawanan INSKEN, lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan.
Menurutnya, program anjuran INSKEN yang bersifat handholding amat bersesuaian untuk usahawan termasuk yang baru menceburi bidang keusahawanan.
“Sehingga hari ini, pencapaian cemerlang usahawan yang menghadiri program latihan dan bimbingan INSKEN masih dapat dikekalkan dengan purata peningkatan jualan minima sebanyak 20 peratus.
“Lebih membanggakan apabila ada usahawan yang berjaya merekodkan peningkatan jualan melebihi 200 peratus setelah menyertai program anjuran INSKEN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Dr Wan Junaidi berkata, sejak mula dilantik sebagai Menteri MEDAC, beliau sentiasa memberi penekanan terhadap rekod pencapaian usahawan yang telah menerima bantuan atau menyertai program di bawah MEDAC untuk dipantau dari semasa ke semasa. Â
Beliau menjelaskan, INSKEN melaksanakan pemantauan itu melalui salah satu aplikasi yang dikenali sebagai iPro khasnya demi memastikan prestasi usahawan tidak tersasar dan dapat diberikan bantuan dengan segera jika berkeperluan demi pencapaian cemerlang usahawan. Â
“Selain itu, INSKEN turut mensasarkan untuk mempersiapkan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian untuk menghadapi situasi pasca Covid-19,” tambahnya.
Sejak Mac lalu, agensi di bawah MEDAC telah tampil melaksanakan dua sesi interaksi usahawan bersama Dr Wan Junaidi secara fizikal yang dihadiri lebih 100 orang usahawan dan 8 Sesi Townhall Industri secara atas talian melalui platform Zoom dan Facebook Live dengan jumlah penonton sebanyak 11,000 usahawan.Â
Objektif sesi terbabit dijalankan adalah bagi memberi peluang kepada usahawan untuk berkongsi pendapat, cadangan serta maklum balas mengenai situasi perniagaan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hari ini, INSKEN sekali lagi melaksanakan sesi interaksi usahawan bersama Menteri MEDAC selama dua jam secara atas talian melalui platform Zoom dan Facebook Live.Â
Sesi itu telah dihadiri lebih 200 usahawan dari pelbagai industri.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad serta ketua-ketua agensi di bawah MEDAC.