TAN Sri Muhyiddin Yassi berkata, beliau berbangga dengan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kerana setiap daripada mereka adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya.

Menurut Perdana Menteri, dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, calon-calon SPM 2020 diuji cabaran getir berbeza berbanding tahun-tahun sudah.

Justeru, kata Muhyiddin, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.

“Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini.

Baca artikel berkaitan: Di sebalik cabaran COVID-19, SPM 2020 terbaik dalam tempoh 5 tahun

Katanya, usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.

“Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat.

“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.

“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin,” jelasnya.

Muhyiddin dalam pada pada itu, mengucapkan Alhamdulillah kerana mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram