Tak perlu bodohkan diri untuk dapat jodoh – Ara Johari

0
1297

“Saya kurang pasti tentang kenyataan mengenai golongan wanita kena jadi bodoh-bodoh sedikit atas sebab mudah untuk dapat jodoh”, demikian kata penyanyi Ara Johari ketika ditanya tentang soal mencari pasangan hidup.

Ujar Ara atau nama penuhnya Nurfarrah Izzatie Johari, dia tidak perlu ‘berpura-pura’ menjadi orang lain demi mengejar cinta lelaki malah jauh sekali untuk bertukar karakter.

Jelas pelantun lagu Bunga itu lagi, dia menyerahkan soal rezeki, jodoh dan ajal kepada Allah yang menentukan jalan cerita hidupnya.

“Secara peribadi, teruskan saja menjadi diri sendiri. Cepat atau lambat, Insya-Allah jodoh akan sampai juga nanti.

“Apa yang pasti saya tidak perlu berlakon menjadi bodoh-bodoh sebagai penanda aras mendapatkan jodoh. Bodoh atau pandai, kalau takdir jodoh kita dah sampai, maka kahwinlah.

“Sebagai orang Islam, saya hanya perlu percaya dengan kerja Tuhan dan satu hari nanti masanya akan tiba juga.” katanya.

Ara berkata demikian pada sidang media single terbaharunya berjudul Tetap Aku Cinta.

Semalam kecoh di media sosial apabila pakar motviasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad telah mengeluarkan kenyataan mengenai seseorang wanita ‘biarlah macam bodoh-bodoh sikit’ jika mahu cepat mendapat jodoh.

Kenyataan berbaur sinikal itu telah tular dan mencetus pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Ara,24, masih lagi belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat memadangkan masih belum menemui pasangan yang sesuai.

“Saya belum ada teman istimewa tetapi ada berkawan dengan seseorang.

“Hubungan itu masih terlalu awal untuk dikongsikan sebab kami belum sampai fasa bercinta.

“Saya tidak akan berahsia jika satu hari nanti sudah bersedia untuk berkahwin. Saya akan kongsikan berita gembira itu kepada peminat,” ujarnya.