ingkar
ISMAIL SABRI YAAKOB

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 22 lokaliti iaitu masing-masing 19 di Terengganu dan tiga di Selangor akan ditamatkan mengikut jadual berkuat kuasa esok.

Penamatan PKPD di kesemua 22 lokaliti berkenaan selepas mengambil kira penurunan kes jangkitan baharu COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 19 lokaliti di Terengganu itu merupakan antara 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu yang sebelum ini diperintahkan menjalani PKPD.

Sepanjang tempoh itu, kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 461 kes positif COVID-19 di semua mukim.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri memaklumkan, dua lagi mukim iaitu mukim Bukit Besar dan mukim Serada masih memperlihatkan peningkatan kes baharu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di 19 mukim pada 12 Jun 2021.

Baca artikel berkaitan: 10 lagi lokaliti dikenakan PKPD, 885 individu ingkar SOP

“Namun begitu, PKPD di dua lagi mukim iaitu Bukit Besar dan Serada dilanjutkan bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021.

“Keputusan melanjutkan PKPD di Bukit Besar dan Serada dibuat setelah KKM mendapati masih terdapat peningkatan ketara kes hasil daripada saringan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai penamatan PKPD di Selangor, Ismail Sabri berkata, ia melibatkan tiga taman perumahan dalam daerah Sabak Bernam iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

Katanya, secara kumulatif KKM telah melakukan 5,206 saringan di ketiga-tiga lokaliti tersebut dan 164 daripadanya dilaporkan positif COVID-19.

Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan, KKM mendapati kes telah menurun dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga taman perumahan dinyatakan pada 12 Jun 2021 (bermula pukul 11.59 malam) seperti yang dijadualkan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram