“Anak tanya dia tak layan, isteri minta tolong kena marah…” – Isteri terluka dek suami ralit dengan telefon. Ini pesan Cikgu Fadli

0
88

‘Telefon macam berjahit dekat tangan’.

Itu realiti pahit yang terpaksa dihadapi masyarakat kini. Walau ke mana-mana hatta ke tandas sekalipun, sukar nak ditinggalkan telefon pintar, umpama nyawa nombor dua. Kalau tak ada, tak keruan seharian dibuatnya. Boleh sawan agaknya.

Mata dan masa lebih banyak mengadap telefon daripada dunia nyata. Maka semakin ramai yang makan hati dek sikap pentingkan telefon dan alam maya berbanding keluarga di alam realiti.

Ibu bapa makan hati dek sikap anak-anak yang 24 jam mengadap telefon. Isteri menjerut rasa dan mula berjauh hati dek suami ketagih bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Cakna akan permasalahan yang timbul, menurut Cikgu Fadli Salleh, salah satu cara paling berkesan adalah dengan memadam semua aplikasi permainan popular yang terdapat di dalam telefon.

Jelasnya, ketagihan bermain games tidak ubah seperti ketagihan dadah. Sukar untuk dibendung dan dihentikan.

“Kawan-kawan…

Sejujurnya aku salah seorang daripada mereka di’rantai’ dengan telefon bimbit. Telefon asyik ditangan saja.

Dulu-dulu lagi teruk. Agaknya suara hati isteri aku lebih kurang macam luahan hati puan ini jugalah. Sampai satu masa, aku sedar, aku lebihkan kawan maya dari anak isteri yang depan mata.

Masa tu aku banyak terbaca tentang betapa ruginya kita tak menghargai seseorang semasa mereka ada. Apa lagi keluarga kita. Isteri. Anak-anak. Ibubapa.

Sejak itu aku ubah sikap. Masa bersama isteri dan anak-anak, aku letak terus telefon. Tengah menaip status, tengah reply komen, bila anak datang bertanya, anak datang nak main, isteri duduk sebelah nak berinteraksi, aku letak telefon. Simpan dalam poket.

Aku bagi hak isteri untuk dia meluah apa sahaja. Aku bagi hak anak-anak untuk bermain dan bertanya. Itu hak mereka. Hak yang kita nafikan kerana ralit dengan dunia maya.

Aku ni kalau main game memang tak ingat dunia. Pernah la dulu sampai tak tidur dua malam dok layan game saja.

Sampai satu ketika, semua tu aku tinggalkan. Aku tahu jika mula balik, ia jadi ketagih, ia buatkan aku lalai.

Sebut apa saja game tersohor zaman kini. Mobile Legend? PUBG? COD? Semua aku tak pernah install dan tak pernah pun main.

Aku takut aku ketagih hingga abai tanggungjawab aku.

Ketagihan pada games terutamanya memang real. Dah macam ketagih dadah. Memang tak hirau anak isteri dah.

Kelmarin aku terbaca, seorang kawan aku bercerita tentang pelanggannya datang basuh kereta di kedai carwash dia.

Seorang lelaki keluar dari kereta, duduk menunggu di sofa dan terus bermain game. Kawan aku ini basuh kereta pelanggan macam biasa. Waktu dah nak siap baru perasan ada anak kecil menangis teruk kat seat belakang.

Terus dia bagitahu si ayah tentang anak itu kot-kot ayah lupa. Boleh ayah dengan selambanya kata,

“Biarkan dia”.

Marah kawan aku. Marah sungguh dengan lelaki ini. Terus dia suruh hambat pulang saja.

Ketagihan game ni memang bagi impak buruk. Bila dah mula main, nak berhenti cukup payah. Tambah-tambah game online yang punya misi, punya pihak lawan secara live.

Anak tanya dia tak layan, isteri minta tolong kena marah, anak kecil datang merangkak minta didukung tak layan dah.

Memang sesiapa pun akan terasa hati dengan kita jika begitu sikap kita.

Jadi tolonglah kawan-kawan. Yang mana ketagih game tu, hentikan lah. Melainkan kau bujang tu tak ada masalah.

Tapi kalau ada anak isteri, delete je game tu. Stop teruslah.

Anak dan isteri ni amanah kita. Ada tanggungjawab besar kita ke atas mereka.

Betapa banyak kita mengabaikan tanggungjawab kita kerana fokus pada game sahaja.

Jika kita ditempat mereka, jika kita ingin bercakap dengan pasangan kita tapi mereka tak layan sebab fokus main game apa perasaan kita?

Pasti marah kan? Pasti terguris kan? Pasti terasa hati kan?

Begitu juga perasaan anak dan isteri kita.

Dan akhir sekali, tolong ingat betul-betul. Kita ini manusia yang punya nyawa. Dan nyawa ini tidak kekal selamanya dalam badan kita.

Jika kita pergi dahulu, atau mereka pergi dahulu, pasti kita kesal yang sangat kerana tidak menghargai mereka saat mereka ada disisi.

Begitulah.

Selamat pagi semua.

#MFS