PENULARAN kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan tinggi telah membuatkan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di kampus berkenaan hari ini.

Kata beliau, KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu di UUM.

Beliau memaklumkan, sebanyak 18 kes positif telah dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kampus UUM, Sintok berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun depan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan ke luar kampus.

Baca artikel berkaitan: 22 lokaliti di Terengganu, Selangor ‘bebas’ PKPD – Ismail Sabri

“Pada masa sama, ia memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar yang sedang menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 828 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam.

Daripada jumlah itu, kata beliau, seramai 759 telah dikenakan kompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin.

Beliau berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan 162 kes tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, 150 individu dikesan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis; 134 rentas negeri/daerah tanpa kebenaran atau makan di premis; 103 tidak menjaga penjarakan fizikal dan 86 tidak patuh arahan kawalan pergerakan.

Katanya, seramai 85 individu dikesan membawa penumpang berlebihan, 10 premis gagal mematuhi arahan dan 98 lagi atas lain-lain kesalahan.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 91,408 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,760 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 20,018 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan SOP sepanjang PKP,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram