Yakjuj Makjuj menjadi salah satu antara 10 tanda besar kiamat. Mahu atau tidak apabila bercerita tentang Yakjuj Makjuj, ia akan terkait secara langsung dengan Zu’l-Qarnain.

Kisah ini disebut di dalam surah al-Khafi ayat 83-99, surah al-Anbiya ayat 96-97, juga di dalam hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi.

Jika diikuti versi Yakjuj Makjuj yang disebut di dalam kitab Ibrani sebagai Gog Magog, ada yang menerangkannya sebagai separuh manusia dan separuh haiwan, makhluk berbentuk raksasa, satu bangsa atau negeri.

Ada pula yang berani membuat kenyataan bahawa NASA telah menemui satu bangsa yang tinggal di dalam perut bumi (20 kaki di dalam bumi) sebagai Yakjuj Makjuj versi Amerika.

Satu puak yang dipanggil cave people atau mole people yang mempunyai ketinggian 8-10 kaki, jarinya berbentuk seperti kuku haiwan dan tangannya ada selaput yang keras seakan-akan kaki itik yang sesuai untuk menggali. Mereka mempunyai kulit yang tebal untuk menahan dari bahang panas yang datang dari perut bumi. Bahasa pertuturannya adalah dialek Najavo atau bahasa Red Indian kuno.

‘Cave people’ atau ‘mole people’ yang digambarkan oleh Amerika.

Ada pula versi lain yang mengatakan Yakjuj Makjuj adalah makhluk kecil yang saiznya adalah separuh manusia. Tidak kurang juga yang menggambarkan Yakjuj Makjuj adalah kaum yang banyak keturunannya. Menurut mitosnya, mereka tidak akan mati selagi belum melihat seribu anak lelakinya memikul senjata untuk berperang.

Diceritakan juga, mereka mempunyai saiz yang besar, terlalu besar dan tinggi manakala yang kecil terlalu kecil hanya mempunyai ketinggian beberapa sentimeter. Dikhabarkan juga bangsa ini mempunyai telinga yang panjang.

Tapi kenyataan itu tidak berasas sama sekali kerana seperti yang disebut di dalam al-Quran, Yakjuj Makjuj adalah kaum yang kasar dan banyak membuat kerosakan di muka bumi.

Surah al-Khafi ayat 94 bermaksud, mereka berkata: “Wahai Zu’l-Qarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepada mu(dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka.”

Jadi, Yakjuj Makjuj bukanlah seperti yang digambarkan oleh berbagai versi cerita-cerita itu. Menurut Sheikh Abdulah Basmeih di dalam tafsir al-Quran, di dalam al-Quran tidak diterangkan siapa dia kaum Yakjuj Makjuj itu. Tetapi menurut asal bahasa, kedua-dua perkataan itu ertinya satu bangsa yang tabiatnya suka menceroboh, menyalakan api rusuhan, membuat kacau bilau dan merosakkan kehidupan manusia.

Gambar sekadar hiasan.

Siapa Yakjuj Makjuj?

Al-Quran hanya menceritakan kisah Zu’l-Qarnain dan Yakjuj Makjuj tetapi tidak diperincikan siapa mereka. Ulama sejarah dan ahli tafsir yang banyak memberikan pendapat tentang siapa mereka ini. Namun, itu hanya sekadar pendapat dan sejauh mana kebenarannya adalah milik Allah S.W.T.

Salah satu tafsirannya, Yakjuj Makjuj adalah daripada keturunan Adam. Bukan separuh orang separuh binatang. Cuma, Yakjuj Makjuj adalah manusia yang ganas.

Di dalam sebuah kitab Arab menyatakan, Yakjuj Makjuj adalah keturunan Yafis iaitu anak Nabi Nuh. Sebagai mana yang dijelaskan oleh ulama, sejarah Nabi Nuh mempunyai tiga orang anak iaitu Sam, Ham dan Yafis. Banyak ulama mengatakan perkara yang sama.

Yafis dikatakan mempunyai beberapa orang anak dan salah satu keturunannya itulah dikatakan melahirkan Yakjuj Makjuj. Bangsa inilah yang duduk di antara dua gunung dan dikatakan sering membuat kerosakan.

Apabila Zu’l-Qarnain sampai, kaum yang ada di sekitar kawasan pergunungan itu memintanya untuk membina tembok itu bagi menghalang Yakjuj Makjuj.

Di dalam salah satu kitab tafsir yang lain pula mengatakan, kaum Yakjuj Makjuj ini suka memusnahkan muka bumi. Apabila tiba musim bunga dan menuai, mereka suka keluar dan menghancurkan tanaman hingga tidak ada yang tinggal.

Ada juga ahli tafsir mengatakan kerosakan yang dilakukan oleh kaum itu amat dahsyat iaitu suka membunuh manusia dan haiwan serta menjadikannya sebagai makanan.

Gambar sekadar hiasan.

Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan secara terperinci siapa Yakjuj Makjuj, namun ramai ulama sejarah dan tafsir membuat kajian mengatakan, Yakjuj Makjuj adalah bangsa Mongol yang mendiami Timur laut wilayah Mongolia.

Ada sesetengah riwayat menjelaskan tentang rupa bangsa Yakjuj Makjuj, matanya sepet, hidung pesek dan berkulit kuning.  Manakala versi Yahudi pula seperti yang dijelaskan di dalam kitab Ibrani, Gog Magog adalah berbangsa Turki.

Yakjuj Makjuj sudah keluar?

Benarkah Yakjuj Makjuj itu adalah bangsa Mongol yang ada sekarang? Mungkinkah Yakjuj Makjuj telah terbebas sebelum berlakunya kiamat?

Ada pendapat mengatakan Yakjuj Makjuj telah keluar dari persembunyiannya sebanyak tujuh kali dan melakukan kerosakan. 

Pertama,  ketika zaman pra sejarah Mongol (5000S.M) menghancurkan peradaban China kuno. Kedua, 1,500-1000 sebelum Masihi (S.M.) datang secara gerombolan dan menduduki wilayah China, Asia Tengah, Mongolia dan Turkistan.

Kemunculan ketiga, pada akhir 700 S.M menyerang Nenoy dan menjatuhkan peradaban Asyuria. Manakala kemunculan keempat adalah pada akhir tahun 500S.M. untuk menguasai wilayah pesisir laut Qazween, Laut Hitam, Utara Kaukasus, Sungai Danube dan Puljaa.

Kelima, menyerang China pada akhir tahun 300S.M.  Para sejarawan China memanggilnya Hyung Hu, semasa serangan itulah pemerintah membangunkan tembok besar (The Great Wall) untuk menghalang serangan kononnya dari puak yang disebut sebagai Yakjuj Makjuj.

Seterusnya kemunculan keenam adalah pada abad ke-4 Masihi yang dipimpin oleh panglima perangnya, Attila dengan misi untuk menguasai Rom dan ternyata mereka berjaya menguasainya selama beberapa abad.

Kali terakhir kaum Yakjuj Makjuj muncul  pada 12 Masihi atau abad ke-7 Hijrah yang dipimpin oleh Genghis Khan, menyerang kerajaan Islam dan berjaya menguasainya. Kemudian cucunya Hulago telah menghancurkan kerajaan khalifah Abbasiyyah pada 656 hijrah.

Kaum Mongol dikatakan sebagai Yakjuj Makjuj.

Namun, benarkah kaum Mongol yang telah tujuh kali membuat serangan dan kacau bilau serta menghancurkan peradaban itu adalah Yakjuj Makjuj?

Tidak! Yakjuj Makjuj yang ditafsirkan oleh ulama sejarah adalah bangsa Mongol yang berada pada zaman Zu’l-Qarnain temui semasa pengembaraannya. Ia adalah berbeza dengan bangsa Mongol yang ada pada hari ini.

Yakjuj Makjuj yang disebut di dalam surah al-Khafi tidak dikaitkan dengan Genghis Khan. Al-Quran sudah menjelaskannya dengan terang dan nyata bahawa ia adalah satu kaum yang telah dikurung Allah melalui tembok yang dibina oleh Zu’l-Qarnain.

Yakjuj Makjuj tidak akan terlepas selagi belum tibanya kiamat dengan izin Allah kerana sesungguhnya janji Allah adalah pasti.

Hal itu amat jelas disebut di dalam surah al-Kahfi ayat 97-98 bermaksud, “Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zu’l-Qarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Ia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar.

Yakjuj Makjuj masih lagi berada di dalam tembok yang dibina oleh Zu’l-Qarnain. Peperangan Genghis Khan dan orang Monghol, tidak logik untuk mengatakan bahawa itu adalah Yakjuj Makjuj kerana ia adalah peperangan antara manusia biasa.

Di mana tembok itu?

Di dalam ayat 93 surah al-Kahfi menerangkan, “Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataannya.

Menurut ayat itu, Zu’l-Qarnain telah pergi antara dua buah gunung di mana tinggalnya satu bangsa yang tidak difahami bahasanya.  Ini kerana jarak tempat asal Zu’l-Qarnain dengan kaum Yakjuj Makjuj adalah terlalu jauh. Atau pun mungkin juga kaum itu tidak pernah keluar dari kelompok itu maka mereka tidak pernah terdedah pada dunia luar.

Ada ulama yang berpendapat kaum Yakjuj Makjuj bukan sebangsa dengan Zu’l-Qarnain. Ramai ahli tafsir mengatakan, kawasan itu di sekitar Mongolia dan Tibet.

Gunung yang disebutkan adalah gunung Kaukasus, ia berhampiran dengan Rusia. Jika dilihat di dalam Internet, memang kelihatan bahawa kawasan pergunungan itu ada dua lereng yang curam. Di kawasan itulah Zu’l-Qarnain diminta untuk membina tembok.

Ada pendapat mengatakan Yakjuj Makjuj dikurung di pergunungan Kaukasus.

Manakala Ali Abdul Hamid Abu Al-Khair, penulis buku “Al-Quran dan sains moden”, berkata, benteng itu tidak berada di bukit Kaukasus tetapi di laluan Zangaria yang berada di antara gunung Tian Shan dan bukit Taoi terbentang dari arah Timur Laut. Ia seperti benteng yang besar di antara tanah rendah Torani (di Barat Turkistan), China dan Mongolia Timur.

Pergunungan Tian Shan.

Katanya, tidak mungkin Yakjuj Makjuj melalui kawasan lain kecuali tanah rendah atau laluan Zangaria yang terletak di antara kedua-dua bukit Toai dan Tian Shan. Laluan itu dikira sebagai jalan bebas yang terkenal di antara China, Asia Barat dan Eropah.

Kesimpulannya, terdapat banyak perbezaan pendapat tentang benteng Yakjuj Makjuj itu, namun itulah hikmahnya Allah tidak menjelaskan di mana tempatnya yang sebenar.

Jika benar benteng itu ada, ia pasti boleh dikesan oleh sistem satelit yang canggih. Tetapi, tembok itu tidak mampu dikesan hingga hari ini. Bermakna tembok itu memang sudah lama lenyap ribuan tahun lalu hingga tidak boleh dikesan kewujudannya.

Ayat 95-97, surah al-Khafi : “Ia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga(kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

“Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”, sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata:”Tiuplah dengan alat-alat kamu,” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah ia: ‘Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.“Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.”

Daripada ayat di atas, tembok itu memang wujud. Ia disebut jelas bahawa tembok itu adalah tembok yang diperbuat daripada besi yang ditiup menjadi tembaga.

Gambar sekadar hiasan.

Jika diikutkan logik, tembok itu boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia adalah tembok yang diperbuat dari  tembaga. Tapi mengapa manusia tidak mampu mengesannya?

Kita kena berpegang teguh betapa berkuasanya Allah tentang perkara ghaib. Sebagaimana mana kita percaya adanya syurga neraka kerana ia disebut di dalam al-Quran dan hadis.

Di dalam hadis juga ada menyebut, Yakjuj Makjuj sedang mengorek tembok itu. Tembok itu tidak akan runtuh sehingga hari kiamat. Tugas Yakjuj Makjuj adalah mengorek lubang itu sehingga hari kiamat datang dan mereka dilepaskan dengan izin Allah.

Ia adalah seperti yang disebut di dalam surah al-Annbiya ayat 96-97, “Demikianlah keadaan mereka hingga terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak(sambil berkata dengan cemas): “Aduhai celakanya kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kemi daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Yakjuj Makjuj akan keluar memusnahkan bumi seperti yang Allah janjikan. Tetapi Allah akan mengutus ulat untuk membunuh Yakjuj Makjuj. Itu semua disebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim.

Kita dilekakan dengan masa, Allah jalankan masa itu dengan laju hingga kita tidak terasa bahawa masa itu berjalan. Di dalam masa yang sama juga kita terleka bahawa Yakjuj Makjuj sedang mengorek dinding dan masanya sudah hampir tiba.

Allah telah janjikan bahawa tembok itu akan runtuh apabila hari kiamat datang. Sedang kita leka mengira dan mencari, Yakjuj Makjuj pun sudah beranak pinak, kerana ia adalah keturunan Adam yang boleh mempunyai zuriat. Entah sudah berapa ramai jumlah mereka, tidak ada siapa yang tahu.

Kalau tidak sentiasa diceritakan kembali tentang Yakjuj Makjuj, manusia akan selalu lupa bahawa ia adalah salah satu tanda besar kiamat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim diceritakan panjang lebar tentang Yakjuj Makjuj. Antara maksudnya…

 “Allah mewahyukan kepada Nabi Isa a.s., “Aku akan mengeluarkan hamba-hambaku yang tidak terkalahkan oleh siapa pun. Kerana itu selamatkanlah hamba-hamba ku (yang saleh) ke bukit.” Lalau Allah Ta’ala membangkitkan Ya’juj dan Ma’juj. Mereka turun melanda dari tempat yang tinggi. Gelombang pertama melewati tasik Tabari lalu mereka minum habis air telaga tersebut. Kemudian lewat pula rombongannya yang lain. Kata mereka, “sesungguhnya dahulu di sini ada air.”

Nabi Isa dan para sahabat beliau terkepung sehingga sebuah kepala lembu lebih berharga bagi mereka dari pada seratus dinar seorang kamu hari ini (kerana kekurangan makanan). Nabi Isa dan para sahabat berdoa semoga Allah menghancurkan Ya’juj Ma’juj.

Maka dikirimkan Allah kepada mereka penyakit hidung seperti haiwan-haiwan sehingga mereka mati semuanya. Kemudian nabi Isa dan para sahabat turun ke bumi. Tetapi tidak sejengkal tanah pun didapatinya melainkan penuh dengan bangkai-bangkai busuk itu. Maka dikirim Allah burung-burung sebesar unta lalu diangkatnya bangkai-bangkai tersebut dan dilemparkannya ke tempat yang dikehendaki Allah.

Kemudian Allah menurunkan hujan lebat, yang tidak membiarkan sebuah rumah pun yang dibuat dari tanah liat dan bulu unta, lalu dibasuhnya bumi sehingga bersih seperti cermin (kaca). (HR- Muslim).

Tasik Tabari juga dikenali sebagai laut Galilee atau tasik Tiberias yang kini berada di bawah jajahan Israel. Mengikut andaian pengkaji, Yakjuj dan Makjuj yang keluar dari pergunungan Kaukasus akan sampai ke tasik ini dan meminum air tasik ini sehingga kering.

___________

Kisah berkaitan : Tidak terjadi hari kiamat sehingga sungai Furat surut airnya

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram