DI sebuah pasar, ada seorang lelaki yang menjual pelbagai jenis ikan. Lelaki itu menulis pada papan tanda di hadapan gerainya yang berbunyi ‘DI SINI MENJUAL IKAN SEGAR’.

Satu ketika, datanglah seorang pembeli ke kedainya. Setelah membeli ikan, si pembeli itu pun berkata, “Mengapa engkau perlu menulis perkataan ‘ di sini’ pada papan tanda ini? Sedangkan semua orang tahu engkau berniaga ikan di sini, bukannya di sana.”

“Betul juga apa yang dikatanya,” fikir si penjual ikan. Lantas dia memadamkan perkataan ‘di sini’ pada papan tandanya itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘MENJUAL IKAN SEGAR’.

Keesokannya, datang pula pembeli lain. Pun sama, pembeli itu memberi komen tentang papan tanda tersebut. Katanya, “Mengapa kau perlu tulis perkataan ‘segar’? Kan semua orang tahu yang kau jual ini adalah ikan segar, bukan ikan busuk.”

“Betul juga kata-katanya tu,” fikir si penjual itu lagi. Lantas dia memadam perkataan ‘segar’ dari papan tanda kedainya itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘MENJUAL IKAN’.

Di hari lain, singgah pelanggan yang membeli ikan di gerai jualannya. Pelanggan itu berkata, “Mengapa engkau perlu tulis perkataan ‘menjual’? Bukankah orang memang tahu kalau ikan ini untuk dijual, bukan untuk dipamerkan.”

Si penjual ikan mengangguk kepala, tanda setuju dengan pendapat pelanggannya itu. Lalu dia memadamkan perkataan ‘menjual’. Tinggal saja perkataan ‘IKAN’ pada papan tanda di gerainya itu.

Keesokannya, datang pula pelanggan yang lain. Melihat tulisan tersebut, pelanggan itu berkata, “Mengapa kau perlu tulis ‘ikan’? Sedangkan orang tahu di sini memang menjual ikan, bukannya daging.”

Sekali lagi, si penjual bersetuju dengan pendapat pelanggannya itu. Akhirnya, dia menurunkan saja papan tanda gerainya. Tiada lagi papan tanda tergantung di hadapan gerainya.

Sejak itu, si penjual ikan mula merasakan kelainan. Pembeli ikannya mula berkurangan, tidak seramai dulu. Sebaliknya, gerai lain yang menjual ikan lebih mendapat sambutan. Dan gerai lain itu memasang papan tanda ‘IKAN UNTUK DIJUAL’ di hadapan gerai mereka.

Barulah si penjual itu terfikir, apa masalahnya jika dia terus menggantungkan papan tanda tersebut sedangkan ia bukannya memberi risiko buruk terhadap perniagaannya.

Apa yang dapat anda simpulkan daripada kisah di atas?

Pembaca sekalian, apabila anda mahu memuaskan hati semua orang, yakinlah bahawa ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, bahkan ia mungkin akan merugikan diri sendiri.

Fitrah manusia berbeza pendapat dan tidak salah untuk mendengar pandangan orang lain. Namun, saringlah dan cernalah kembali setiap pendapat itu.

Tidak semua pendapat yang diberikan orang lain tepat untuk diri anda. Adakalanya ketika kita terlalu memikirkan pendapat orang lain, tanpa sedar ia sebenarnya merugikan diri sendiri.

_______________

Baca juga kisah ini : Hanya kerana seekor monyet…

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram