jangan jadi seperti barat

Steve menghalakan muncung senapangnya tepat ke arah dada Gary Hudson, Gabenor Massachusetts yang baru terpilih dalam pilihan raya yang lalu. Hari ini, Steve perlu melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Tugasnya hanyalah memastikan gabenor tersebut meninggal dunia melalui satu tembakan tepat. Tidak ada kompromi walaupun untuk sedikit kesilapan. Steve tidak pernah gagal dalam sebarang misinya sebelum ini.

Namun, kali ini tumpuannya sedikit terganggu. Ketika Steve bersedia untuk menarik picu senapangnya, Gabenor tersebut tiba-tiba mengangkat seorang budak kecil dalam lingkungan umur tiga tahun.

Fikiran Steve tiba-tiba diganggu dengan kenangan silamnya semasa zaman kanak-kanaknya dahulu. Ekoran gangguan tersebut, Steve akhirnya membatalkan hasrat membunuh Gabenor Massachusetts tersebut, seterusnya mengingkari arahan yang diberikan.

Namun, tidak sampai setengah minit selepas itu, satu tembakan kedengaran dari arah hadapan Steve, lalu tepat mengenai bahagian belakang Gabenor Gary Hudson yang terus tersungkur bersama budak kecil yang didukungnya itu.

Tanpa berlengah, Steve tahu apa yang perlu dilakukan olehnya. Dia tahu bahawa dia adalah sasaran penembak tepat tersebut selepas ini. Dari dulu lagi Steve menyedari bahawa sama ada dia membunuh, atau pun dia dibunuh.

Plot cerita seperti di atas adalah sesuatu yang biasa kita lihat, atau disebut juga klise, dalam filem-filem Hollywood, khususnya filem-filem aksi.

Dalam filem-filem seperti ini, kita dapati hero filem tersebut digambarkan mempunyai identiti yang tidak jelas, atau bercelaru. Atau dengan kata lain, mereka tidak pasti siapa diri mereka yang sebenarnya. Pendek kata, mereka bagaikan robot yang hanya perlu mengikut arahan pihak-pihak tertentu yang kadang-kadang tidak pernah mereka kenali.

Dalam hal ini, hero tersebut akan berusaha mencari identiti dirinya yang sebenar. Semasa proses pencarian tersebutlah, melalui pertolongan pihak-pihak tertentu, si hero akhirnya berjaya membongkar segala kepincangan dan penipuan yang berlaku.

Inilah senario yang akan kita lihat dalam filem-filem Hollywood seperti The Bourne Ultimatum, Wanted, Judge Dredd, The 6th Day, Universal Soldier : Regeneration, The Island, Terminator Salvation, dan sebagainya.

Bila yang salah, diangkat dan dimuliakan

Dalam filem-filem seperti ini, Hollywood seolah-olah ingin memberitahu kita bahawa kecelaruan identiti bukanlah sesuatu yang mengaibkan bagi seseorang, justeru bukanlah tiket untuknya gagal dalam kehidupan.

Lebih dari itu, mereka yang identitinya tidak jelas juga mampu menjadi hero dan idola dalam kalangan masyarakat dan negara mereka. Oleh itu, tidak ada sebab bagi anak zina contohnya, untuk mereka merasa rendah diri, malu, dan terhina.

Namun, jangan sekali-kali terperangkap di sebalik imej positif yang cuba ditonjolkan oleh Hollywood di atas. Memang benar anak zina tidak bersalah dan tidak wajar menerima hukuman akibat dari kesalahan ibu dan ‘bapa’ nya.

Namun, penampilan anak zina sebagai hero dalam filem Terminator Salvation contohnya boleh memberi kefahaman kepada para penonton bahawa perlakuan zina bukanlah satu kesalahan sebagaimana yang diuar-uarkan dalam agama Islam.

Dalam filem Judge Dredd, The 6th Day, dan The Island pula, Hollywood mencuba membawa penonton pada persoalan pengklonan manusia, termasuk dari sudut etika kemanusiaan. Akhirnya penonton disajikan dengan keputusan bahawa manusia klon juga mampu melakukan kebaikan dan mengalahkan kejahatan.

Dalam hal ini, Hollywood seolah-olah mahu memberi isyarat kepada para penonton bahawa pengklonan manusia tetap mendatang manfaat kepada manusia, sedangkan para ulama seluruh dunia sudah sepakat mengharamkan pengklonan manusia.

Kecelaruan identiti dalam filem-filem Hollywood ini bagi saya sebenarnya berakar umbi dari sejarah agama Kristian dan Yahudi itu sendiri yang menjadi tunggak kepada Hollywood.

Hal ini memandangkan agama Kristian dibina di atas asas yang tidak kukuh, meragukan, dan penuh syak wasangka. Bermula daripada ketuhanan Nabi Isa a.s., kesahihan pembunuhan dan penyaliban ke atas Nabi Isa a.s. hinggalah tarikh kelahiran Nabi Isa a.s. dan amalan-amalan keagamaan, kesemuanya penuh dengan kekhilafan dan kekeliruan yang terlalu besar.

Dalam kitab Injil Yuhana yang diharamkan oleh Persatuan Gereja Sedunia contohnya, penulisnya yang mendakwa menulis atas arahan Nabi Isa a.s. menjelaskan, lelaki yang disalib dan dibunuh tersebut sebenarnya ialah Ketua Tentera Yahudi itu sendiri yang telah terlebih dahulu sampai ke rumah Nabi Isa a.s., lalu wajah dan suaranya telah diubah oleh Allah menyerupai wajah dan suara Nabi Isa a.s.

Ada pun Nabi Isa a.s., Baginda telah diselamatkan oleh Allah dengan diangkat oleh-Nya ke langit, sama seperti yang diyakini oleh umat Islam.

Kekeliruan orang-orang Yahudi terhadap pembunuhan Nabi Isa a.s. pula dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah al-Nisa’: 157 dan 158,

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa).

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya).

Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepada-Nya, dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Manakala, dalam surah Maryam: 25 pula, Allah menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Isa a.s. dilahirkan dalam musim panas, dan bukannya pada 25 Disember yang merupakan musim sejuk. Firman Allah Taala,

“Dan gegarlah ke arah mu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepada mu buah tamar yang masak.”

Perkataan “buah tamar yang masak” ini jelas menunjukkan bahawa Maryam a.h. melahirkan Nabi Isa a.s. pada musim panas, iaitu musim masaknya buah tamar.

Justeru, sebagai umat Islam jangan sekali-kali terpengaruh dengan apa sahaja model kehidupan yang cuba dibawa dan diketengahkan oleh Hollywood dalam filem-filem mereka.

Biarkan mereka dengan kecelaruan mereka. Jangan pula ada dalam kalangan penggiat seni negara ini yang bermegah-megah dengan filem-filem sampah mat rempit, hantu toyol, lelaki gay, perempuan pelacur, dan sebagainya itu yang langsung tidak melambangkan jati diri kita yang beragama Islam. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah

____________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram