penyelesaian ambank
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz


KERAJAAN bersedia menanggung perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi sehingga RM8 bilion tahun ini berikutan peningkatan harga minyak dan minyak masak di peringkat global.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tambahan perbelanjaan subsidi sebanyak RM4.22 bilion itu lebih tinggi daripada RM3.78 bilion yang diperuntukkan Kerajaan tahun ini.

Menurutnya, berikutan peningkatan harga komoditi di peringkat global, harga petroleum seperti petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) serta minyak masak dijangka meningkat dengan mendadak. 

“Oleh demikian, Kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan bantuan berterusan melalui subsidi minyak dan minyak masak sebagai komitmen tinggi dalam mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat. 

“Kerajaan juga bersedia menanggung perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi ini bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan, terutamanya peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Kerajaan akan terus membantu rakyat melalui pelbagai langkah termasuk meneruskan subsidi minyak dan minyak masak dalam membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi di peringkat global ke atas kos sara hidup rakyat.

Kerajaan ujarnya tetap meneruskan dasar pengekalan harga bagi barang-barang runcit iaitu RM2.05 per liter bagi Petrol RON95 yang telah dikekalkan sejak 10 Februari, dan RM2.15 per liter bagi Diesel sejak 10 Februari.

“Harga gas petroleum cecair LPG dikekalkan pada RM1.90 sekilogram sejak Jun 2015, dan minyak masak bersubsidi pula bernilai RM2.50 pek sekilogram sejak 1997,” katanya.

Tambahnya, pelbagai langkah Belanjawan dan inisiatif yang ditambah baik melalui PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan akan terus disalurkan sekurang-kurangnya sehingga Disember 2021.