KALAU sudah jodoh, tetap bersatu juga. Itu kata-kata yang sesuai menggambarkan kisah cinta pasangan ini.

Anna Kozlov, gadis yang jatuh cinta semasa pertama kali bertemu Boris, jejaka yang merupakan seorang setiausaha Young Communist (organisasi politik Soviet Union). Boris datang ke kampung halaman Anna di Borovlyanka, Siberia untuk memberi ucapan buat penduduk di sana.

Ketika itu, mata kedua-dua mereka bertembung. Lahirlah cinta pandang pertama. Pada tahun 1946, mereka melangsungkan perkahwinan. Ia agak tergesa-gesa kerana ketika itu banyak kawasan masih dilanda peperangan.

Anna dan Boris sewaktu muda. Cinta pandang pertama membuat mereka mengambil keputusan berkahwin dalam waktu singkat.

Perkahwinan pasangan ini mendapat banyak tentangan daripada masyarakat. Menurut mereka, Anna dan Boris tidak sesuai bersama. Kenapa?

Boris merupakan tentera Red Army di bawah seliaan diktator Joseph Stalin, pemerintah Kesatuan Soviet. Manakala Anna hanya seorang gadis kampung. Ayahnya hanya seorang petani yang berdepan masalah kerana ingkar dengan arahan kerajaan untuk bekerja di ladang milik Joseph Stalin.

Namun, di mata Boris hanya ada Anna. Begitu juga sebaliknya. Hanya tiga hari selepas berkahwin, Boris terpaksa meninggalkan Anna untuk kembali ke medan perang.

Tidak lama selepas Boris pergi, keadaan menjadi huru-hara buat Anna. Seperti ayahnya, Anna juga terperangkap dan menjadi mangsa keadaan sehingga mereka anak-beranak dituduh menjadi musuh kerajaan dan dijatuhi hukuman dibuang daerah.

Anna tidak sanggup keluar dari kampung itu kerana cintanya pada Boris. Dia mahu menunggu kepulangan suaminya. Pun begitu kerana keadaan yang genting dan mendesak, dia tiada pilihan lain.

Anna terpaksa mengikut keluarganya meninggalkan kampungnya halamannya, Borovlyanka. Dia terpaksa pergi tanpa meninggalkan sebarang tanda untuk Boris mencarinya.

Apabila Boris pulang tidak lama kemudian, dia mengesan keanehan kerana tiada Anna menunggunya di depan pintu rumah seperti biasa. Daripada penduduk setempat, dia mendapat tahu Anna dan keluarganya telah dibuang daerah.

Di pihak Anna pula, walaupun memulakan kehidupan baru di tempat lain, dia tidak pernah melupakan suaminya. Surat-surat yang pernah Boris berikan, puisi dan gambar mereka tersimpan kemas dalam bilik Anna.

Setelah beberapa lama, ibunya mencadangkan agar Anna keluar berkenalan dengan seorang lelaki bernama Nefed. Mulanya, Anna enggan kerana cintanya terhadap Boris sehingga dia hampir cuba membunuh diri. Namun setelah dipujuk dan mengambil waktu yang lama, akhirnya Anna menyerah kalah dan berkahwin dengan Nefed.

Manakala Boris pula dalam tempoh itu menghabiskan banyak masa untuk mencari Anna, namun gagal menemuinya. Boris juga akhirnya berkahwin dengan wanita lain.

Tahun silih berganti. Sama ada Anna mahupun Boris, masing-masing sudah hidup berkeluarga dan dikurniakan anak, sehinggalah pasangan mereka meninggal dunia. Tinggallah Boris dan Anna hidup menyendiri, menghabiskan sisa-sisa usia mereka.

Pada tahun 2007, Anna tergerak hati mahu kembali ke kampung halamannya. Dia mahu melihat semula rumah lamanya yang pernah menyimpan memori indah dengan bekas suaminya dahulu.

Tanpa disedari, rupa-rupanya takdir menggerakkan hati mereka berdua untuk mengunjungi Borovlyanka pada hari yang sama.  

Borovlyanka, kampung yang menemukan semula cinta sejati Anna dan Boris.

Ketika Anna berdiri di hadapan rumah yang pernah didiaminya bersama Boris selama tiga hari, dia terlihat seorang lelaki yang sebayanya keluar daripada kereta.

Hati Anna terdetik kerana wajah lelaki tua itu mirip Boris. Ternyata itu memang Boris sehingga Anna hampir tidak percaya, dia akhirnya menemui lelaki cinta pertamanya itu sekali lagi selepas 60 tahun mereka terpisah. Boris juga sepantas kilat mengenali Anna meskipun wajahnya sudah dimamah usia.

Pertemuan itu memaut kembali cinta mereka yang terpisah sekian lama. Di usia sudah melebihi 80 tahun, Anna dan Boris bersatu semula untuk menghabiskan kisah cinta mereka, melayari sisa usia yang tinggal dengan rasa bahagia.

Anna dan Boris bertemu semula setelah 60 tahun terpisah.

____________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram