“Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung (jika) kini diambil alih oleh Jemaah Menteri?.”

Demikian persoalan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut mengatakan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Jemaah Menteri akan menasihati Seri Paduka sama ada melanjutkan atau menamatkan pelaksanaan darurat sebagai mengelirukan.

Sebagai seorang daripada ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, Saifuddin Nasution turut meminta Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan.

Kata beliau, ia sekali gus akan membantunya membuat keputusan berhubung kedudukan dan peranan dalam jawatankuasa berkenaan.

“Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekali pun, kuasa Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

Baca artikel berkaitan: Darurat: Kerajaan beri jaminan ikut Perlembagaan buat keputusan

“Jika itu benar, apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Kata beliau, penubuhan itu sekali gus membuatkan kerajaan bersifat berkecuali menasihati Yang di-Pertuan Agong berbanding dalam keadaan biasa yang mana peranan menasihati itu adalah tanggungjawab Jemaah Menteri.

“Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.

“Sehingga sekarang, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.

Semalam, Takiyuddin berkata, Kabinet bertanggungjawab menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan untuk darurat dilanjutkan atau tidak.

Kerajaan juga, kata Takiyuddin, memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Menurut Takiyuddin, ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram