Pemain pasukan Denmark kelihatan tergamam dan bersedih sambil mengelilingi Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah dalam perlawanan Euro 2020 menentang Finland.

PERLAWANAN pembukaan antara Denmark dan Finland terpaksa dihentikan sebelum berakhir separuh masa pertama selepas tonggak tengah Denmark, Christian Eriksen tiba-tiba rebah.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen itu, Eriksen yang mahu menerima lontaran ke dalam daripada rakan sepasukan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Kejadian yang berlaku pada minit ke-42 itu membuatkan pengadil England, Anthony Taylor terus mengarahkan kakitangan kesihatan untuk segera masuk ke padang memberi bantuan.

Bintang Inter Milan itu dilihat menerima bantuan pernafasan (CPR) daripada kakitangan kesihatan sambil disaksikan rakan sepasukan yang tergamam menyaksikan kejadian itu.

Kebanyakan pemain Denmark turut dilihat mengalirkan air mata sebelum mengelilingi Eriksen bagi memberi ruang kepada kakitangan kesihatan memberi bantuan.

Baca artikel berkaitan: Malam tanpa tidur bermula, Euro 2020 buka tirai awal pagi esok

Penyokong pasukan tuan rumah juga terkejut dengan insiden tersebut.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam ciapan di Twitter kemudiannya berkata, perlawanan antara kedua-dua pasukan ditangguhkan atas sebab kecemasan perubatan.

“Susulan kecemasan perubatan melibatkan pemain Denmark, Christian Eriksen, satu mesyuarat krisis antara kedua-dua pasukan dan pegawai perlawanan telah diadakan.

“Maklumat lanjut akan disampaikan pada pukul 7.45 malam waktu Eropah Tengah (CET) atau 1.45 pagi waktu Malaysia.

“Eriksen telah dipindahkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil,” kata UEFA dalam ciapan tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram