DETIK cemas yang menyaksikan Christian Eriksen rebah di tengah padang secara tiba-tiba ketika perlawanan pembukaan Denmark dan Finland menggemparkan peminat bola sepak seluruh dunia.

Mana tidaknya, ia bukanlah pertama kali perkara seperti itu berlaku di dalam kancah bola sepak antarabangsa.

Sememangnya tidak dinafikan insiden seperti itu boleh berlaku kepada mana-mana pemain.

Kejadian pada minit ke-42 itu menyaksikan Denmark mendapat lontaran ke dalam berdekatan kubu lawan, namun Eriksen yang meluru untuk menyambut balingan itu tanpa diberi tekanan pihak lawan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Tragedi yang menimpa tonggak Inter Milan itu membuatkan kedua-dua pasukan tergamam sebelum pemain Denmark mengelilingi rakan sepasukannya itu yang terbaring mendapatkan rawatan selama 10 minit.

Pengadil kemudian mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan babak pertama.

Sejurus laporan kesihatan mengesahkan Eriksen sedar selepas menerima rawatan di Hospital dan kedua-dua pasukan bersetuju untuk menyambung semula permainan selepas hampir dua jam ditangguhkan.

Aksi di Copenhagen menyaksikan Finland memperoleh tiga mata pertama hasil jaringan tunggal Joel Pojanpalo.

Baca artikel berkenaan: Euro 2020: Eriksen stabil, perlawanan Denmark-Finland disambung semula

Tragedi menimpa Eriksen telah menarik perhatian ramai pemain bola sepak profesional dan juga bekas pemain bola sepak.

Rata-rata mereka memberikan kata-kata semangat menerusi hantaran di media sosial masing-masing.

Antaranya adalah bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld yang turut berasa simpati atas kejadian tersebut.

“Kemenangan pertama dalam kejohanan ini tetapi malam ini adalah sesuatu yang melangkaui bola sepak. Rakan saya Christian Eriksen, doa saya buat anda dan keluarga anda,” ujarnya melalui ciapan di Twitter.

Rakan sepasukan Eriksen di Inter Milan, Romelu Lukaku juga turut berasakan perkara sama menerusi satu ciapan mengenai rakan sepasukannya itu.

“Pertama sekali, ingatan saya bersama Eriksen dan Castagne. Kuatkan semangat sahabatku dan semoga cepat sembuh,” katanya di Twitter.

Bekas pasukan Eriksen, Tottenham Hotspur turut tidak terlepas untuk menzahirkan rasa simpati terhadap bekas bintang mereka itu.

“Kepada pihak bertugas, terima kasih atas tindakan pantas anda. Kepada Eriksen, ingatan dan doa kami sentiasa bersama anda,” katanya melalui akaun rasmi Twitter kelab itu.

Dalam pada itu, pasukan kebangsaan Jerman turut tidak melepaskan peluang untuk memberi kata-kata semangat kepada Eriksen dengan memuat naik gambar seluruh skuad mereka bersama potret Eriksen.

“Ingatan kami bersama anda Eriksen, semoga cepat sembuh!,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram